X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Menteri mahu laporan penutupan pusat latihan skuad snuker negara

Reezal Merican (dua dari kiri) hadir majlis pelancaran Liga SupaRimau di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa.- Foto FAM Foto FAM
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mahu laporan berhubung penutupan pusat latihan bagi skuad snuker negara di Bandar Sunway, Kuala Lumpur dikemukakan kepadanya pada Jumaat ini.

Menurut Reezal Merican, laporan itu perlu dikemukakan supaya pihaknya dapat mengambil tindakan segera bagi menangani perkara berkenaan.

“Saya dah arahkan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai perkara ini sebab Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Hamidin (Mohd Amin) telah jumpa dan kita minta ambil tindakan dan laporan hujung minggu ini.

“Saya tak nak sukan snuker terjejas hanya kerana isu yang tidak dapat diselesaikan ini kerana snuker adalah sukan yang berpotensi untuk menyumbang pingat.

“Saya juga telah arahkan Datuk Hamidin untuk mengadakan mesyuarat segera berhubung perkara ini dan kemukakan laporan kepada saya pada Jumaat,” katanya pada Selasa pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Liga SupaRimau di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa.

Persiapan kem snuker negara ke Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini terjejas selepas pusat latihan mereka di Bandar Sunway terpaksa ditutup.

Pusat latihan itu terpaksa ditutup setelah Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF) tidak lagi mampu untuk menampung kos operasi yang mencecah RM30,000 sebulan terutamanya apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilanjutkan.

Sementara itu, Hamidin Mohd Amin berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MBSF, Melvin Chia bagi berbincang perkara berkenaan.

“Saya sudah jumpa Melvin minggu lalu dan minggu ini saya akan jumpa lagi untuk selesaikan perkara ini.

“Saya juga telah berbincang dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk pihak MSN turut membantu,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!