Piala TNB: Maybank belum kibar bendera putih

Foto: Malaysian Hockey Confederation
Foto: Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

KEKALAHAN kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala TNB pada Ahad lalu, tidak melunturkan semangat pemain Maybank untuk bangkit meraih kemenangan pada aksi timbal balik saingan itu esok.

Kapten Maybank, Hafifihafiz Hanafi berkata mereka akan berjuang habis-habisan menentang pasukan dari Pantai Timur itu pada separuh akhir kedua setelah tumpas 0-2 pada aksi separuh akhir pertama, sekali gus mara ke pentas final pada 3 April depan.

“Saya harap rakan sepasukan dapat memberikan yang terbaik pada perlawanan separuh akhir kedua esok kerana saya lihat kita bermain bagus tempoh hari cuma tidak menyempurnakan peluang sebaik mungkin.

“Ketika ini, semua pemain bersikap positif dan saya harap mereka dapat memberi komitmen sepenuhnya pada perlawanan esok...jangan takut, selagi pengadil tidak meniup wisel penamat, peluang masih ada ke final,” katanya dalam satu rakaman audio yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia kepada media pada Selasa.

Pada aksi Ahad lalu, gol hasil jaringan padang Shello Silverius pada minit ke-22 dan Mohd Fitri Saari pada minit ke-49 melengkapkan kemenangan 2-0 THT yang juga merupakan naib juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021.

Sementara itu, Jurulatih UniKL Megat Azrafiq Megat Termizi menjangkakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan turun bermati-matian pada aksi timbal balik esok bagi menghidupkan semula peluang mara ke final selepas tewas tipis 0-1 kepada pasukannya, Ahad lepas.

Justeru, beliau menuntut anak buahnya untuk kekal fokus dan tidak mensia-siakan kelebihan dimiliki skuadnya dalam usaha untuk mempertahankan Piala TNB buat kali kedua berturut-turut.

“Kalau boleh kita perlu tamatkan perlawanan dalam masa 60 minit dan bukannya mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Gol tunggal penyerang veteran Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil menerusi pukulan penalti empat minit sebelum perlawanan berakhir, memberi kelebihan kepada UniKL mara ke final sekali gus memburu tiga gelaran buat kali kedua tahun ini selepas menjuarai Piala Sumbangsih dan meraih kejuaraan hatrik Liga MHL, baru-baru ini.