SPR tiada alasan kukuh tangguh kelayakan mengundi 18 tahun

Dr Mahathir ketika mengadakan sesi 'walkabout' di Pantai Chenang, Langkawi pada Selasa.
Dr Mahathir ketika mengadakan sesi 'walkabout' di Pantai Chenang, Langkawi pada Selasa.
A
A
A

LANGKAWI - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hairan dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi 18 tahun.

Menurut beliau, pelaksanaan tersebut yang sepatutnya dijadualkan Julai ini ditangguhkan September tahun depan, tanpa mengemukakan alasan kukuh.

“Alasan diberikan terutama melibatkan kesukaran mengumpul data pengundi khususnya kawasan mengundi yang turut memerlukan penglibatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah sesuatu yang amat sukar diterima,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi 'walkabout' di Pantai Chenang pada Selasa.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan teknologi ketika ini mampu memperoleh data setiap individu berusia 18 tahun dengan mudah dan cepat.

“Teknologi yang kita ada mampu memperoleh data dengan cepat termasuk individu yang mendaftar sebagai pemilih, usia pengundi serta tempat tinggal pengundi.

"Kita sudah ada ‘big data’, kita tahu berapa ramai yang akan mengundi, semuanya ada data. Jadi saya tidak tahu apa masalah SPR dalam perkara ini,” katanya.

Dr Mahathir turut mempersoal tindakan SPR yang mengambil masa lama untuk mengumumkan penangguhan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi 18 tahun.

“Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 mengenai had umur mengundi diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2010 dan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

Artikel Berkaitan:

"Pakatan Harapan (PH) telah membuat persiapan awal dan rapi mengenai perkara itu selepas berjaya mengambil alih pentadbiran sejak Mei 2018,” katanya.

Khamis lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta semua pihak memberikan masa kepada SPR untuk persediaan melaksanakan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

Katanya, terdapat beberapa prosedur perlu diselesaikan termasuk berkaitan kawasan mengundi yang melibatkan JPN.