Tak perlu pergi bazar Ramadan, 'Warong Rider' bantu dapatkan juadah berbuka

Sulaiman (tiga dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian penghantar makanan 'Warong Rider' ketika pelancaran 'Warong Rider' di bawah Program Warongku di Kompleks Seri Negeri, di sini pada Selasa.
Sulaiman (tiga dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian penghantar makanan 'Warong Rider' ketika pelancaran 'Warong Rider' di bawah Program Warongku di Kompleks Seri Negeri, di sini pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Khidmat penghantar makanan 'Warong Rider' di negeri ini mampu menjana pendapatan peniaga Bazar Ramadan, sekali gus membantu orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa tanpa keluar rumah pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, menerusi platform 'Warong Rider' yang diselaraskan anak syarikat kerajaan negeri, Melaka ICT Holding dan Idea Creative Technology Sdn Bhd (ICTSB), perkhidmatan itu dapat memacu pertumbuhan ekonomi digital, dalam masa sama menjaga penjarakan sosial sekali gus mengurangkan kebimbangan orang ramai untuk berkunjung ke bazar Ramadan.

"Pelaksanaan program ini dapat meningkatkan ekonomi digital di samping mewujudkan sistem penghantaran yang cekap dan berkesan serta meningkatkan peluang pekerjaan khususnya kepada golongan belia di negeri ini.

"Di Melaka mereka menyasarkan seramai 500 'Warong Rider' sepanjang tahun ini dan 2,000 'rider' di seluruh negara," katanya ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran 'Warong Rider' di bawah Program Warongku di Kompleks Seri Negeri, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hassan.

Mengulas lanjut Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, konsep 'Warong Rider' ini bukan sekadar menghantar pesanan makanan halal, malah diperluaskan kepada satu sistem penghantaran berpusat termasuk penghantaran ubat-ubatan dari farmasi, penghantaran dokumen dari pejabat atau barangan dari rumah ke rumah, serta penghantaran dari kedai runcit atau pasar raya terus ke lokasi pelanggan.

Menurutnya, peluang pekerjaan sebagai khidmat penghantar itu meliputi pelbagai insentif seperti perlindungan penjana GIG, penyelenggaraan motosikal, insentif 'rider' cemerlang, bonus bulanan dan pelbagai kelebihan lain termasuk cabutan umrah.

Artikel Berkaitan: