Rebut peluang sertai Promise

Mohd Nizam (kanan) bertanya berkenaan program ditawarkan oleh pengendali kursus.
Mohd Nizam (kanan) bertanya berkenaan program ditawarkan oleh pengendali kursus.
A
A
A

SEREMBAN - Peserta e-Kasih dan golongan B40 termasuk ibu tunggal berusia bawah 40 tahun disaran merebut peluang menyertai program latihan dan kerjaya dikendalikan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.

Program yang diberi nama Program Modal Insan Anak Seremban (Promise) itu menawarkan 11 program kursus latihan dan kemahiran secara percuma dalam tempoh tiga bulan ke 12 bulan.

Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus berkata, inisiatif itu diambil dalam usaha kerajaan membantu meningkatkan pendapatan peserta sekaligus diharap dapat mengubah kehidupan mereka.

"Program ini dilaksanakan menerusi peruntukan dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang mana fokus utama kita adalah kepada anak-anak peserta e-Kasih dan golongan B40 yang tiada kerja atau lepasan sekolah.

"Mereka boleh pilih program latihan yang diminati antaranya seperti urut terapi, pendandan rambut, pemasangan dan penyelenggaraan elektrik, operasi servis makanan dan minuman, perkhidmatan barista dan lain-lain," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Roadshow Promise di sebuah pasar raya di sini pada Isnin.

Mohd Nizam (kanan) melihat demonstrasi solekan oleh pengendali kursus seni solekan.
Mohd Nizam (kanan) melihat demonstrasi solekan oleh pengendali kursus seni solekan.

Menurutnya, setiap kursus ditawarkan hanya terhad kepada 35 peserta sahaja yang mana mereka juga akan diberi elaun.

Beliau berkata, selepas tamat kursus, peserta akan ditempatkan di sektor atau industri yang bersesuaian dan akan dipantau dalam tempoh enam bulan.

Artikel Berkaitan:

"Kita nak tengok sama ada mereka sesuai atau tidak untuk terus bekerja di situ dan selepas itu terpulang sama ada mereka mahu kekal di tempat sama atau mencari kerja di tempat lain.

"Yang pastinya mereka sudah ada kemahiran tertentu yang diperoleh secara percuma," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dengan adanya pendidikan kemahiran tertentu seseorang itu mampu memperoleh pendapatan lebih baik berbanding daripada makan gaji.

Katanya, stigma seseorang itu hanya boleh berjaya dan memperoleh pendapatan tinggi dengan sijil yang diperoleh daripada hasil pendidikan di Institusi Pendidikan Tinggi sahaja perlu diubah.