Cubaan seludup kura-kura albino, ikan mas dan laga gagal

Sebahagian daripada ikan mas dan laga yang berjaya dirampas.
Sebahagian daripada ikan mas dan laga yang berjaya dirampas.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Cubaan menyeludup kura-kura albino, ikan mas dan laga dari Thailand gagal apabila tindakan itu berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu pada Isnin.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, rampasan haiwan itu dilakukan pada jam 3 pagi selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Nissan Latio yang tidak berkunci dan ditinggalkan di kawasan pangkalan haram Hassan Merah, di sini.

"Nilai rampasan kesemua haiwan seludup itu dianggarkan berjumlah RM73,200. Selain haiwan itu, kita turut merampas kenderaan yang digunakan untuk aktiviti tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua haiwan itu dibungkus menggunakan guni-guni putih dan diletakkan di tempat duduk penumpang belakang serta ruangan penyimpanan barang.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas guni-guni itu membawa kepada penemuan 20 ekor kura-kura albino, ikan mas (350 ekor) dan laga (545 ekor).

Nor Azizan berkata, kesemua barangan rampasan itu akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 11 (1) Akta Maqis 2011.

"Siasatan awal, kita dapati kesemua haiwan ini datang dari negara jiran.

"Ia dibawa masuk secara tidak sah ke Malaysia menggunakan pangkalan haram tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: