X

Kindly register in order to view this article
!

Mayat lelaki berkafan ditemui tepi jalan

Mayat lelaki berkafan ditemui orang awam di tepi jalan utama Gerik - Kuala Kangsar. - Foto: Ihsan Pembaca
A
A

KUALA KANGSAR - Mayat seorang lelaki yang dibalut dengan kain putih seperti dikafan ditemui di tepi jalan KM57 Jalan Gerik- Kuala Kangsar berhampiran Kampung Lubok Merbau, di sini pada Isnin.

Mayat lelaki yang turut dibalut dengan lapisan selimut bercorak kartun dan kanvas plastik itu dijumpai oleh orang awam kira-kira jam 10.15 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dianggarkan berusia 40an itu dipercayai warga tempatan berdasarkan parut suntikan pada lengan kirinya.

"Mangsa yang memakai kemeja dan berseluar pendek dipercayai mati tidak kurang 36 jam sebelum ditemui di lokasi kejadian.

"Siasatan awal polis percaya lelaki itu mati di tempat lain sebelum dibuang di kawasan yang jauh daripada kejiranan itu," katanya.

Menurutnya, terdapat satu kesan luka di bahagian kanan kepala namun tidak dapat dipastikan punca luka tersebut.

"Tiada kesan kecederaan lain ditemui pada bahagian badan mangsa selain tidak menemui dokumen pengenalan diri.

"Polis turut menemui bangkai ayam di samping mayat mangsa," katanya.

Anuar berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Semakan terhadap laporan orang hilang akan dilakukan dengan segera bagi mengenal pasti identiti mangsa.

"Siasatan lanjut terhadap kes ini akan diteruskan berdasarkan beberapa bukti yang diperoleh di tempat kejadian," katanya.

Katanya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!