Tarik diri daripada GLC: Perak ikut keputusan PAU

SAARANI
SAARANI
A
A
A

IPOH - Gesaan agar pemimpin UMNO menarik diri daripada jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hanya pandangan individu dan bukan keputusan rasmi parti.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sesiapa sahaja boleh memberikan pandangan, namun tindakan seterusnya haruslah berpaksi kepada apa yang diputuskan parti.

"Dalam hal ini mudah sahaja, sesiapa juga yang bercakap, kita rujuk balik kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO semalam (Ahad) kerana itulah keputusan rasmi parti.

"Kalau nak layan kehendak semua orang, kita tak terlayan dah. Jadi, nasihat saya kepada diri sendiri dan semua ahli, apa sahaja nak buat, rujuklah kepada keputusan perhimpunan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Roadmap Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah agar semua ahli UMNO yang memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk diberikan jawatan dalam GLC menarik diri.

Perwakilan parti dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berakhir pada Ahad sebulat suara memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Cadangan penarikan diri itu bagaimanapun tidak dibahaskan dan hanya akan diteliti pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan datang.

Mengulas mengenai putus kerjasama politik dengan Bersatu, Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, semua tiga kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak milik UMNO yang kini diwakili wakil rakyat Bersatu akan ditandingi semula pada pilihan raya umum akan datang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerusi Parlimen berkenaan adalah Larut, Bukit Gantang dan Bagan Serai manakala DUN Sungai Manik dan Tualang Sekah.

"Kita akan tanding di semua kerusi Parlimen yang lompat (UMNO lompat Bersatu).

"Sama juga keadaannya dengan DUN, mana yang dahulu ditandingi UMNO macam Tualang Sekah dan Sungai Manik, kita akan tanding semula," katanya.