Tangguh Undi 18 timbulkan keraguan: NGO belia

Zambri (kiri) menyerahkan memorandum kepada Ketua Unit Komunikasi Korporat SPR, Mohammad Azlan Charles Abdullah pada Isnin.
Zambri (kiri) menyerahkan memorandum kepada Ketua Unit Komunikasi Korporat SPR, Mohammad Azlan Charles Abdullah pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18 kepada September 2022 menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa berkata, kenyataan SPR minggu lalu bercanggah dengan kenyataan menteri sebelum ini bahawa pemilihan secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

"Apabila ada percanggahan menteri kata A, SPR kata B, jadi ada yang tidak kena," katanya kepada pemberita selepas menghantar memorandum kepada SPR pada Isnin.

Menurutnya, SPR juga gagal mengemukakan laporan interim kepada NGO belia dan orang awam mengenai kaedah perlaksanaan Undi 18.

"Mereka beri alasan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi harus diingatkan bahawa Undi 18 diluluskan di Dewan Rakyat sebelum pandemik Covid-19 bermula," katanya.

Beliau berkata, suruhanjaya itu juga tidak pernah memanggil NGO belia dalam libat urus Undi 18.

"SPR, jangan berdolak-dalik kerana rakyat mahukan jawapan," katanya.

Mengulas lanjut, Zambri berkata, NGO belia mendapat maklum balas daripada golongan muda bahawa mereka bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu SPR mempercepatkan proses Undi 18 kerana (tindakan) tangguh 2022 ini SPR tidak ambil berat," katanya.

Zambri bersama beberapa pemimpin NGO belia antaranya Majlis Belia Negara, Gerakan Belia 4B, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hadir ke Ibu Pejabat SPR bagi menyerahkan memorandum kepada suruhanjaya itu bagi mendesak Undi 18 dilaksanakan mengikut tarikh yang dijanjikan iaitu Julai 2021.

SPR turut didesak untuk mengeluarkan laporan perkembangan pelaksanaan pemilih automatik secara berskala sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memastikan ia berjalan secara sistematik dan rakyat dapat membuat penilaian.

"SPR perlu mengambil kira rungutan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang membantah penangguhan pelaksanaannya," katanya.

Sebelum ini, SPR mengumumkan penangguhan pelaksanaan pemilih automatik dan Undi 18 sehingga September 2022 selepas mengambil kira pelaksanaan PKP yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan pihaknya.

Undi 18 sepatutnya dijadualkan dilaksanakan pada Julai depan.