1MDB: Roger Ng setuju diekstradisi ke AS

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng, hari ini bersetuju untuk diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi tiga pertuduhan jenayah berkaitan 1Malaysia Development Berrhad (1MDB).

Perkara itu dinyatakan peguam Ng, Datuk Tan Hock Chuan semasa prosiding ekstradisi yang difailkan kerajaan Malaysia terhadap Ng didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, M.M. Edwin Paramjothy.

Hock Chuan juga turut memaklumkan bahawa anak guamnya memohon untuk mengetepikan prosiding ekstradisi selepas bersetuju untuk pulang ke AS dalam masa 30 hari.

“Responden berhasrat untuk membela diri dalam kes itu atas merit di mahkamah di daerah timur New York dan telah mencapai persetujuan dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk jaminan dan syarat-syaratnya,” katanya.

Paramjothy kemudian membenarkan permohonan Ng, 47, atau nama sebenar Ng Chong Hwa, untuk mengetepikan prosiding ekstradisi selepas mahkamah berpuas hati dengan persetujuan Ng untuk pulang ke AS bagi menghadapi pertuduhan di sana.

Beliau berkata Ng akan dihantar ke penjara sementara menunggu waran menteri di bawah Akta Ekstradisi 1992.

Ng, yang memakai baju berwana biru kelihatan tenang di kandang tertuduh semasa prosiding tersebut.

Pada 12 Disember 2018, kerajaan memfailkan permohonan mengekstradisi Ng ke AS untuk berdepan tiga pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu dibuat oleh Jabatan Peguam Negara bagi pihak kerajaan Amerika yang mahu Ng dihantar balik ke negara itu untuk berdepan pertuduhan di Mahkamah Persekutuan dfi daerah timur New York.

Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Disember lalu menolak permohonan Ng untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu permohonan ekstradisi itu didengar atas alasan terdapat kemungkinan Ng akan melarikan diri dari negara ini dan kes itu membabitkan kepentingan awam serta negara.

Pada 19 Disember 2018, Ng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan Nota-Nota Terjamin anak syarikat 1MDB berjumlah US$6.5 bilion dengan meninggalkan fakta material dan membuat pernyataan tidak benar.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Faizul Aswad Masri memberitahu pemberita bahawa Ng akan ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga proses ekstradisinya ke AS selesai.- Bernama