Leong Ngah Ngah kekal terajui DAP Pahang

Leong Ngah Ngah
Leong Ngah Ngah
A
A
A

BENTONG - Pemimpin veteran DAP, Leong Ngah Ngah kekal selaku Pengerusi DAP Pahang bagi penggal 2021-2024 yang merupakan penggal ketiga untuk beliau menerajui kepimpinan parti itu di negeri ini.

Pemilihan jawatankuasa yang berlangsung pada Konvensyen DAP Pahang di sini pada Ahad juga menyaksikan semua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua Ahli Parlimen DAP kekal berada dalam kepimpinan negeri.

Pada pemilihan itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Choo Ken Hwa mengumumkan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack antara lima ahli jawatankuasa dilantik selepas sekadar mendapat 108 undi untuk menduduki tempat ke-16 daripada 34 calon yang bertanding.

Empat ahli jawatankuasa lain yang dilantik pula ialah ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong; Go Mong Nging, Chok Chuan Jun dan Chiang Mei Soon.

Speaker konvensyen, Tan Hong Pin mengumumkan bahawa pelantikan Wong Tack adalah berdasarkan Fasal Kecil 1(b) iii Fasal XIV Perlembagaan Parti selepas beliau gagal menempatkan diri dalam 15 calon yang memperoleh undi tertinggi bagi menduduki jawatankuasa negeri.

Tan juga mengumumkan bahawa calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, M Manogaran kekal sebagai Timbalan Pengerusi DAP Pahang.

Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji juga kekal sebagai naib pengerusi, manakala ADUN Sabai, D Kamache yang sebelum ini merupakan penolong setiausaha turut dilantik sebagai naib pengerusi.

ADUN Triang, Leong Yu Man juga mengekalkan jawatan sebagai setiausaha organisasi dengan dibantu oleh Loo Why Leong selaku penolong.

Artikel Berkaitan:

ADUN Ketari, Young Syefura Othman sekali lagi dipilih sebagai setiausaha publisiti, manakala ADUN Tras Chow Yu Hui yang memperoleh undian terbanyak dengan 198 undi pada pemilihan itu dilantik sebagai pengarah pendidikan politik.

Jawatan setiausaha kekal dipegang ADUN Bilut, Lee Chin Chen dengan dibantu ADUN Mentakab, Woo Chee Wan selaku penolong setiausaha, manakala bendahari juga kekal disandang Chong Yoke Lee. - Bernama