Majlis Tertinggi LDP lulus usul sertai PN: Presiden

Chin Su Phin
Chin Su Phin
A
A
A

KOTA KINABALU - Majlis Tertinggi Parti Liberal Demokratik (LDP) yang bermesyuarat pada Ahad meluluskan usul untuk parti tempatan Sabah itu menyertai Perikatan Nasional (PN).

Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin berkata, parti itu membuat keputusan tersebut selepas melihat kesungguhan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menyelesaikan masalah rakyat terutama ketika berdepan cabaran Covid-19 ketika ini.

"LDP yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri terutama dalam usahanya memerangi Covid-19 termasuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi di saat negara menghadapi pandemik itu.

"Ia satu kenyataan bahawa hanya sebuah parti politik arus perdana yang dapat menyelesaikan masalah rakyat terutama ketika pandemik Covid-19 melanda negara," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

LDP, yang ditubuhkan pada 1989, sebelum ini merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) sebelum bertindak keluar selepas daripada gabungan itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 dan bekas Presiden parti itu, Tan Sri Chong Kah Kiat merupakan Ketua Menteri Sabah yang ke-13 dari 2001 hingga 2003.

Chin berkata, LDP kini fokus untuk persidangan dan pemilihan 28 bahagian parti itu yang akan bermula dari Mei hingga Ogos ini manakala mesyuarat agung tahunan serta pemilihan parti dijadual diadakan pada hujung tahun ini.

"Kami akan memberi peluang kepada ahli muda untuk memimpin. Saya juga menjangkakan sebahagian besar daripada bahagian akan dipimpin golongan muda," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: