Letupan bom bunuh diri di luar gereja di Makassar sebabkan 14 cedera

No Image Caption
A
A
A

JAKARTA - [DIKEMAS KINI] Kejadian letupan bom di luar pintu masuk Gereja Katedral di Makassar, Sulawesi Selatan hari ini yang dipercayai dilakukan oleh pengebom bunuh diri, mencederakan 14 orang setakat tengah hari tadi.

Setakat 12.30 tengah hari waktu Indonesia Barat, polis Indonesia belum mengesahkan jumlah mereka yang terbunuh dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi waktu Indonesia bahagian tengah itu.

Menurut Ketua Divisi Hubungan Masyarakat Polis Indonesia, Argo Yuwono, dua suspek yang menunggang sebuah motosikal cuba memasuki kawasan gereja berkenaan sebelum ditahan pengawal keselamatan gereja.

"Pengawal keselamatan menahan mereka dan sejurus kemudian berlaku letupan. Polis masih menyelidik jumlah bahagian-bahagian tubuh yang hancur akibat letupan itu (jumlah yang terbunuh dalam kejadian berkenaan)," katanya pada sidang akhbar di Jakarta.

Letupan itu turut melibatkan beberapa pengguna jalan raya yang sedang melalui jalan berkenaan.

Berdasarkan video yang tersebar di media sosial, bahagian tubuh yang berkecai bertaburan di kawasan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: