X

Kindly register in order to view this article
!

BAM ada strategi di Hanoi

Juara Seluruh England, Lee Zii Jia antara pemain utama negara yang tidak akan beraksi pada Sukan SEA di Hanoi.
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak berganjak dengan keputusan yang telah dibuat dengan menyenaraikan pemain remaja dan pelapis pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam hujung tahun ini.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, pihaknya akan tetap 'menyelitkan' pemain utama bagi menyuntik semangat kepada barisan pemain muda.

“Kita bukannya buang satu team pemain utama di Hanoi nanti. Sebaliknya ada pemain yang berpengalaman akan turut serta dalam pasukan sebagai mentor kepada pemain muda negara.

“Saya bagi contoh mudah, dalam sebuah pasukan bola sepak ada membariskan pemain muda dan pelapis tetapi pada masa sama sudah tentunya akan ada seorang pemain senior di posisi tertentu.

“Apa pun perkara ini masih dalam perbincangan. Namun, apa yang boleh saya katakan barisan pemain negara yang bakal mengalas cabaran pada Sukan SEA kali ini merupakan sebuah skuad seimbang," katanya kepada Sukan Sinar.

Mengenai barisan pemain yang akan mengalas cabaran negara di Hanoi, Choong Hann berkata, senarai itu masih dalam proses penilaian hasil rundingan bersama Pengarah Pembangunan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek.

“Senarai nama pemain untuk acara perseorangan sahaja sudah ada 10 pemain, cuma kami masih belum finalise lagi kerana senarai akhir berkemungkinan hanya diketahui pada Ogos depan.

“Buat masa ini, kami mahu melihat pemain muda dan pelapis bersaing sesama sendiri sebelum mereka mendapat tempat dalam skuad negara pada Sukan SEA di Hanoi nanti.

“Kami sememangnya mahu menghantar skuad terbaik walaupun majoritinya dibarisi pemain muda dan pelapis. Kami tidak mahu mereka berlatih dalam angan-angan tanpa ada objektif atau sasaran tertentu.

“Jadi apabila kami sudah meletakkan mereka dalam senarai persediaan untuk membawa cabaran negara dalam Sukan SEA, sudah tentu mereka akan lebih bermotivasi dan berlatih bersungguh merebut tempat dalam misi mengharumkan nama negara,” ujarnya.

Mengulas rasional BAM tidak menghantar pemain utama ke Hanoi, Choong Hann berkata, kepadatan jadual dalam beberapa kejohanan utama tahun ini menyebabkan badan induk itu terpaksa melakukan 'pilihan terbaik'.

“Jika diperhatikan beberapa kejohanan utama dunia dijangka berlangsung selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai depan iaitu Piala Thomas/ Uber di Denmark, Kejohanan Dunia di Sepanyol dan Piala Sudirman di China.

“Jadi kami perlu melihat kejohanan utama yang penting kerana tidak mahu menjejaskan tahap kecergasan pemain negara kerana perlu mengharungi jadual yang agak padat," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!