X

Kindly register in order to view this article
!

Badminton: Jepun hargai sumbangan Malaysia

Hiroshi Oka (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Mohamad Norza (kiri) pada majlis penyampaian Penghargaan Menteri Luar Negeri Jepun kepada BAM di Kediaman Kedutaan Jepun pada Jumaat. -Foto BERNAMA
A
A

JEPUN menghargai peranan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam menyumbang kepada pembangunan dan kejayaan pemain Jepun di arena antarabangsa.

Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi berkata, kisah kejayaan BAM diketahui ramai dan ia mendorong kem Jepun untuk berlatih di bawah bimbingan jurulatih berbakat dari Malaysia seperti Jeremy Gan (beregu campuran), Tan Kim Her (beregu lelaki) dan Lee Wan Wah (beregu campuran).

“Jurulatih-jurulatih Malaysia ini telah banyak menyumbang kepada prestasi keseluruhan pemain badminton Jepun di persada antarabangsa yang kami amat terhutang budi kepada mereka.

“Di sini, saya ingin mengucapkan takziah. Satu kehilangan besar, Izuan Ibrahim yang meninggal dunia pada Disember 2019. Sebagai seorang jurulatih belia dan bekas pemain, beliau benar-benar memberi inspirasi kepada banyak pemain muda, Kento Momota adalah seorang daripada mereka,” katanya.

Terdahulu, Hiroshi telah menyampaikan Anugerah Kepujian Menteri Luar Jepun untuk tahun 2020 kepada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Jumaat.

Anugerah itu dikurniakan setiap tahun oleh Menteri Luar Jepun kepada individu dan kumpulan yang melakukan sumbangan besar untuk mengeratkan persahabatan dengan Jepun.

Sementara itu, Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyifatkan anugerah diterima BAM itu merupakan pengiktirafan besar buat pihaknya dan juga arena badminton negara.

“Pemain kita seperti Datuk Misbun Sidek sangat dikenali di sekolah di Ehime dan mereka sangat menyanjungi pencapaian kita yang seterusnya menjadi pencetus kepada pemain Jepun untuk beraksi sangat baik pada hari ini,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!