Polis akan panggil peserta himpunan Undi 18

Polis menjalankan siasatan berkenaan penganjuran himpunan berkaitan undi 18 di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Polis menjalankan siasatan berkenaan penganjuran himpunan berkaitan undi 18 di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil individu yang terlibat dalam perhimpunan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan undi 18 tahun di Jalan Parlimen di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan telah dijalankan membabitkan himpunan sekumpulan individu dari Pakatan Harapan (PH) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berarak dari Padang Merbok menuju ke Jalan Parlimen.

"Kesemua yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

"Kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan telah selesai dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan dibuat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

Katanya, siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021 iaitu apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah.

Justeru, beliau berkata, polis meminta orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, kegagalan mematuhi perintah itu membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.