X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada kompromi terhadap individu menyalahi Akta Kanak-kanak

Rina Harun
A
A

SEPANG - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang boleh menjadi kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya memandang serius penularan klip video yang menunjukkan seorang guru tadika melakukan kekerasan ke atas anak muridnya.

“Kementerian menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbukti melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Kewangan Pengoperasian Tahunan dan Penubuhan PAWE (Pusat Aktiviti Warga Emas) Baharu Zon Tengah 2021 di sini pada Sabtu.

Video berdurasi 10 saat itu yang mencetuskan kemarahan orang awam memaparkan seorang guru wanita mengangkat dan menghempas seorang murid lelaki sambil disaksikan oleh murid-murid tadika yang lain.

Rina berkata, beliau juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung isu itu memandangkan tadbir urus tadika terletak di bawah KPM.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib pada Jumaat dilaporkan berkata, polis telah menerima laporan isu itu yang dibuat oleh ibu mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001. Guru tersebut telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada polis. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!