X

Kindly register in order to view this article
!

Syarikat produksi ceroboh gua, rosakkan fosil

Kesan fosil dirosakkan selepas kru sebuah syarikat produksi menceroboh kawasan gua itu ketika menjalankan penggambaran di kawasan berhampiran. - Foto Ihsan pembaca
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengesahkan berlaku pencerobohan Gua Matsoorat dan fosil berusia jutaan tahun dirosakkan selepas sebuah syarikat produksi menjalankan penggambaran di kawasan tersebut baru-baru ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya telah memberikan kelulusan kepada syarikat berkenaan untuk menjalankan penggambaran di kawasan luar gua serta sekitar bandar raya itu sehingga 30 April.

"Saya kata ia pencerobohan gua kerana kita bagi kebenaran di kawasan gunung tersebut cuma tidak dibenarkan masuk gua kerana masih dalam kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkaitan fosil.

"Bagaimanapun, mereka (produksi) ada berjumpa dengan saya pada Rabu lalu dan mengakui kesilapan itu," katanya ketika ditemui pada program Gotong-royong Denai Sungai Kebangsaan sempena Hari Air Sedunia 2021 di Dataran Sungai Kinta di sini pada Sabtu.

Tular di laman sosial apabila pengguna Facebook mendedahkan terdapat kerosakan dalam gua berkenaan selepas penggambaran sebuah drama selain tidak menjaga kebersihan di kawasan yang sedang dinaiktaraf sebagai geotapak ke-19 dalam Geopark Lembah Kinta.

Rumaizi berkata, laporan penuh akan diumumkan selepas selesai siasatan dijalankan.

Rumaizi (Pengguna Facebook kecewa melihat kerosakan dan vandalisme yang berlaku di Gua Matsoorat.)
Rumaizi (Pengguna Facebook kecewa melihat kerosakan dan vandalisme yang berlaku di Gua Matsoorat.)

"Saya minta mereka buat baik pulih semula. Berdasarkan laporan yang diterima daripada JMG setakat ini, fosil berkenaan boleh dibaik pulih.

"Baik pulih akan melibatkan kos dan pelantikan konsultan telah dibuat. Setakat ini, ia hanya melibatkan fosil sahaja dan tidak melibatkan lukisan purba," katanya.

Katanya, kelulusan penggambaran kepada syarikat itu tidak ditarik balik namun, kawasan gua itu akan diadakan kawalan ketat bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi.

Pengarah Michael Ang menerusi laman Instagramnya menyatakan kekesalan akan insiden itu dan akan bekerjasama dengan MBI selain mengesan individu yang melakukan perbuatan itu.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Perak memberi jaminan untuk meningkatkan kawalan di Gua Matsoorat susulan berlaku kerosakan pada fosil gigi mamalia herbivor pada 18 Mac lalu.

Michael Ang menaikkan kenyataan di lnstagramnya berhubung insiden melibatkan krunya.
Michael Ang menaikkan kenyataan di lnstagramnya berhubung insiden melibatkan krunya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!