Ops Selamat 14 catat penurunan

Noor Rashid (dua, kiri) menyampaikan penganugerahan dalam Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Ops Selamat 14 Sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Persada PLUS.
Noor Rashid (dua, kiri) menyampaikan penganugerahan dalam Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Ops Selamat 14 Sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Persada PLUS.
A
A
A

PETALING JAYA - Ops Selamat 14 sempena Tahun Baharu Cina 2019 mencatatkan penurunan kadar kemalangan berbanding Ops Selamat 12 pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, sebanyak 20,829 kemalangan direkodkan di seluruh negara berbanding 21,041 kes bagi tempoh sama pada Ops Selamat 13.

Menurutnya, jumlah kemalangan itu menurun sebanyak 212 kes atau satu peratus.

“Bagi kemalangan maut, sebanyak 197 kes direkodkan pada tahun ini dan jumlah itu menurun 11 kes atau 5.3 peratus berbanding tahun lalu yang merekodkan 208 kes.

“Rekod kematian juga mencatat penurunan sebanyak 10 kematian atau 4.4 peratus,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Ops Selamat 14 Sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Persada PLUS, di sini, hari ini.

Noor Rashid berkata, pihaknya mendapati punca berlakunya kemalangan adalah kerana kurang kewaspadaan pengguna jalan raya di mana terbabas sendiri menjadi penyumbang utama kemalangan maut membabitkan 87 kes.

"Mengikut statistik, pengguna motosikal merupakan penyumbang utama kematian sebanyak 138 kes diikuti pengguna kereta (46 kematian), pejalan kaki (18 kematian), lori (6 kematian), van (2 kematian), basikal (2 kematian), bas (1 kematian) dan lain-lain (3 kematian)," katanya.

Tambahnya, sepanjang operasi itu dijalankan, sebanyak 360,738 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berbanding 385,547 saman berbanding tempoh sama tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi laporan balik kampung sepanjang Ops Selamat 14 ini, polis telah menerima sebanyak 10,641 laporan melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan Borang Balik Kampung di seluruh negara sekaligus mencatat peningkatan sebanyak 2,010 laporan.

Dalam majlis itu, Noor Rashid menyampaikan penganugerahan kepada kepada tiga kontinjen dan daerah yang menunjukkan prestasi terbaik sepanjang Op Selamat 14 berlangsung.

Bagi kategori kontinjen, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak merangkul tempat pertama, manakala IPK Kedah di tempat kedua serta IPK Sabah di tempat ketiga. Kategori daerah pula dimenangi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, IPD Alor Gajah di tempat kedua, manakala IPD Yan di tempat ketiga.