PDRM berkas enam individu disyaki pengganas

Antara individu yang ditahan dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas.
Antara individu yang ditahan dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas enam individu disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas dalam serbuan berasingan di Johor, Selangor dan Sabah sejak Disember lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, operasi khas Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman itu menahan dua rakyat Malaysia dan empat warga asing membabitkan warga Singapura, Bangladesh, Filipina serta sebuah negara Asia Selatan.

Menurutnya, tangkapan pertama pada 19 Disember di Johor Bahru melibatkan seorang ahli perniagaan lelaki warga Singapura berusia 48 tahun hasil kerjasama Jabatan Keselamatan Dalaman (ISD) Singapura.

"Suspek dipercayai aktif berhubung dengan Akel Zainal iaitu seorang rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria dan telah membantu menyalurkan dana.

"Suspek juga menerima arahan daripada Akel Zainal untuk merekrut beberapa individu bagi tujuan melancarkan serangan ke atas bangunan freemason di Johor Bahru. Suspek telah diserahkan kepada pihak ISD pada 7 Januari lalu selepas selesai soal siasat dengan pihak Cawangan Khas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

No Image Caption

Mohamad Fuzi berkata, pada 19 Disember, polis telah menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun di Klang, Selangor.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pekerja pembersihan ini dipercayai menyokong kumpulan Daesh dan aktif menjalankan kegiatan merekrut individu di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Tambahnya, pada 10 Januari di Sepang, Selangor, dua lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang juga merupakan pekerja ladang di luar negara telah ditahan.

"Kedua-dua suspek telah diusir pulang ke Malaysia selepas ditahan di negara tersebut kerana disyaki terlibat memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh di Syria. Siasatan juga mendapati salah seorang suspek berperanan menyalurkan dana kepada Khairul Amizan Azmi seorang rakyat Malaysia yang menyertai Daesh di Syria," katanya.

No Image Caption

Pada 19 Januari di Kota Kinabalu, Sabah, seorang lelaki warga Filipina berusia 21 tahun turut diberkas polis.

"Suspek yang bekerja sebagai buruh binaan ini merupakan anggota kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) dan telah menyusup masuk ke Malaysia sejak Mac tahun lalu secara tidak sah.

No Image Caption

"Suspek mempunyai kemahiran mengendalikan pelbagai jenis senjata api dan mempunyai hubungan dengan pemimpin ASG, Firuji Indama di Selatan Filipina. Tangkapan ini menjadikan jumlah tangkapan anggota ASG seramai 39 orang sejak tahun 2017," katanya.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun berasal dari sebuah negara di Asia Selatan juga berjaya diberkas dalam serbuan di Puchong, Selangor, pada 28 Januari lalu.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai tukang rumah ini disyaki memainkan peranan memberi perlindungan terhadap seorang individu dari sebuah negara di Asia Selatan yang disenarai notis merah Interpol kerana terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah serta keganasan.

Kes disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).