Pembantu pengurus syarikat didenda RM50,000 buat tuntutan palsu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pembantu pengurus sebuah syarikat didenda RM50,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan membuat tuntutan bayaran bantuan kewangan menggunakan dokumen palsu pada 2019.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Koh Chee Wei, 42, mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu iaitu satu set dokumen Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/ Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen bagi tarikh 1 sehingga 15 November 2019 yang mengandungi dokumen invois di Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 25 November 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang mencerminkan tahap keseriusan kes iaitu denda antara RM50,000 hingga RM80,000.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda yang minimum tanpa pemenjaraan atas alasan tertuduh yang belum berkahwin itu telah insaf dan kini sedang menjaga bapanya yang uzur.

“Sepanjang siasatan tertuduh telah memberi kerjasama baik kepada SPRM. Dia tidak mempunyai rekod lampau dan pengakuan salahnya telah menjimatkan kos dan masa mahkamah serta pendakwaan. Mohon tertuduh diberikan peluang kedua,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: