Harap pemantauan lebih kerap oleh penguat kuasa

Papan tanda larangan merokok masih dipamerkan dan pematuhan tetap dilakukan oleh pengusaha kedai makan.
Papan tanda larangan merokok masih dipamerkan dan pematuhan tetap dilakukan oleh pengusaha kedai makan.
A
A
A

SEREMBAN - [LAPORAN KHAS] Segelintir pelanggan sekitar bandar ini masih tidak mengendahkan larangan merokok di kedai makan.

Menurut seorang pemilik kedai makan, Syaril Huda Shamsudin, 42, meskipun papan tanda larangan merokok telah dipamerkan, namun ada segelintir pelanggan yang masih berdegil.

Beliau berkata, penguat kuasa perlu melakukan semula pemantauan yang kerap bagi memastikan keselesaan pelanggan lain di kedai makan.

“Saya tengok ramai yang sudah tidak ikut sangat (larangan merokok dalam kedai makan). Di kedai saya pun ada, bila kita tegur mereka kata peraturan itu tidak dikuat kuasa lagi.

“Eloklah pihak berkaitan buat pemantauan semula kerana jika tidak segala usaha yang kita lakukan sebelum ini hanya sia-sia sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, seorang pemilik kedai makan, Mohd Aryan Kailash Arumugam, 33, berkata, sejak penguatkuasaan larangan merokok di restoran pada 2019 lalu, pihaknya tidak membenarkan mana-mana pelanggan merokok dalam premis.

Menurutnya, sehingga hari ini beliau patuh dengan arahan tersebut bagi memastikan keselesaan kepada pelanggan lain.

"Sejak penguatkuasaan larangan merokok dalam kedai makan, pelanggan sudah terbiasa dan tidak merokok dalam premis.

Artikel Berkaitan:

"Vape juga kita tidak benarkan, biasanya pelanggan yang mahu merokok atau hisap vape akan duduk di ruang meja luar atau jauh dari tempat makan," katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, penguatkuasaan terhadap peraturan larangan merokok masih diteruskan dan tidak pernah berhenti.

Katanya, penguatkuasaan kurang dilakukan kerana negara sekarang ini dilanda pandemik Covid-19 dan memberi fokus terhadap langkah pencegahan wabak tersebut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setahun lalu.

“Saya yakin selepas habis pandemik ini, kita akan kembali aktif melakukan penguatkuasaan,” katanya.