Memang Najib ada auranya, tapi...

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bersatu menyifatkan aura Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mampu mengubah pendirian pengundi PH di Semenyih.

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, kemeriahan sambutan diterima bekas Perdana Menteri itu sesuatu yang normal.

“Kami faham yang dikatakan aura Najib itu, beliau kini sudah menjadi seorang selebriti dan sebagai seorang bekas perdana menteri, memanglah ramai orang yang berminat untuk bergambar dengan beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO yakin sentuhan Bossku di Semenyih

“Tetapi ini tidak semestinya beliau ada pengaruh untuk mempengaruhi orang, mengubah keputusan orang untuk mengundi daripada PH kepada BN,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau akui pendekatan bekas Presiden UMNO itu memberi manfaat kepada PH.

“Tak apa kalau beliau merasakan ini cara terbaik untuk beliau mengangkat BN, kami tidak bimbang, terpulang.

“Ada untung juga (kepada PH), untuk mengingatkan kepada pemimpin BN, inilah dia manusia yang menyebabkan BN kalah dan nampaknya pemimpin itu tidak mengambil iktibar. BN ditolak oleh rakyat, beliaulah penyebab kekalahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pengundi di Semenyih perlu memilih ADUN PH bagi memastikan usaha pembangunan dan bantuan dapat dinikmati.

“Saya rasa kita kena yakinkan juga orang di Semenyih bahawa lebih baik menumpukan perhatian bagaimana ADUN mereka boleh membantu pembangunan.

“Kalau ADUN PH yang itu dipilih atas dasar membantu pembangunan, insya-ALLAH boleh membantu untuk menyelesaikan masalah kerana beliau menjadi ejen utama kita memastikan apa-apa bantuan dan usaha pembangunan boleh dilaksanakan terutama sekali kawasan-kawasan kampung tradisional,” katanya.

Beliau berharap, pengundi tidak termakan kata-kata bahawa pilihan raya kecil kali ini ruang untuk memberikan undi protes terhadap kerajaan.

“Saya harap orang di Semenyih tidak termakan idea bahawa pilih ADUN bukan PH atas dasar kononnya untuk memprotes atau memberi isyarat kepada PH kerana kalau menjadi sekalipun, ia tidak memberi manfaat langsung malah merugikan kepada penduduk di Semenyih.

“Sebab ADUN selain PH tidak akan boleh membantu dari segi masalah kos sara hidup, perumahan...isu longkang sumbat pun kalau ADUN bukan PH, tidak boleh membantu masyarakat di Semenyih,” katanya.