X

Kindly register in order to view this article
!

Guna wang i-Sinar beli bekalan dadah

Sebahagian penagih dadah yang ditahan dalam Ops Perdana AADK Melaka, di Krubong, pada petang Rabu.
A
A

MELAKA - Dua lelaki sanggup menggunakan wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) i- Sinar untuk membeli bekalan dadah.

Perbuatannya itu terdedah setelah mereka ditahan dalam Ops Perdana AADK Melaka, di Krubong, pada petang Rabu.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, kedua-dua individu masing-masing berusia 33 dan 36 antara tujuh penagih yang ditahan dalam operasi selama empat jam itu.

Menurutnya, disebabkan mahu mendapatkan bekalan dadah mereka sanggup membelanjakan wang yang dikeluarkan daripadanya akaun satu KWSP itu untuk memuaskan nafsu.

"Saya kesal apabila mereka sendiri mengakui menggunakan wang i-Sinar yang diperolehi untuk membeli dadah. Biarpun mungkin tak semua wang itu digunakan untuk membeli dadah kerana ada yang digunakan untuk memberi kepada keluarga dan perbelanjaan lain, namun perkara seperti ini tidak sewajarnya berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Ops Perdana Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka di Krubong.

Hadir Sama, Pengarah AADK negeri Nazir Mohamad dan Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri, Norliya Darus.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, kemungkinan juga ada yang ditahan sebelum ini turut menggunakan wang i- Sinar untuk membeli dadah memandangkan tangkapan yang dibuat meningkat kebelakangan ini.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 49 tahun yang baharu sahaja keluar penjara dua minggu lalu turut ditahan.

Rahmad berkata, individu itu sebelum ini ditahan atas kesalahan orang dikehendaki membabitkan kes dadah sebelum ditahan sekali lagi pada Rabu.

Menurutnya, dalam tempoh empat hari, AADK Melaka berjaya menahan 72 individu yang mana 71 daripadanya didapati positif dadah.

"Walaupun baharu empat hari lokasi sama diserbu serta dibersihkan oleh AADK bersama polis baru-baru ini, namun masih ada tangkapan dibuat. Kesemua mereka termasuk dua wanita yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Sejak Januari hingga 24 Mac lalu, seramai 240 individu ditahan dan daripada jumlah itu 233 didapati positif, kesemua mereka ini berusia antara 13 hingga 60-an.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!