The Lions belum mahu mengalah

UiTM FC akan menggunakan tempoh rehat dua minggu ini mengkaji semula kelemahan serta membina keyakinan semua pemain The Lions. - Foto: UiTM FC
UiTM FC akan menggunakan tempoh rehat dua minggu ini mengkaji semula kelemahan serta membina keyakinan semua pemain The Lions. - Foto: UiTM FC
A
A
A

UiTM FC masih belum mengibarkan 'bendera putih' dalam persaingan Liga Super musim ini apabila menduduki tangga tercorot selepas hanya mampu meraih satu mata daripada lima perlawanan.

Tonggak pertahanan The Lions, Ahmad Khuzaimi Piee berkata, tempoh rehat selama dua minggu ini akan digunakan sepenuhnya dalam mengkaji semula kelemahan serta membina keyakinan semua pemain.

Biarpun barisan pemain tempatan UiTM rata-ratanya merupakan pelajar, Ahmad Khuzaimi tidak melihat itu sebagai kekurangan sambil menyifatkan kualiti dimiliki mereka mampu bersaing dengan pemain daripada kelab lain.

“Dalam bola sepak sememangnya ada menang dan ada kalah cuma musim ini kalau tengok kami banyak peluang untuk menjaringkan gol cuma belum ada rezeki yang berpihak kepada kami.

“Kami sebenarnya pasukan underdog, sama seperti musim lalu dan benda itu tidak jadi masalah jika hendak dibandingkan dengan pasukan-pasukan besar kerana perbandingan itu akan berikan semangat untuk pemain bagi komitmen 100 peratus di atas padang.

“Saya masih mempunyai keyakinan UiTM akan bangkit serta bersaing kerana ada peningkatan yang ketara dalam kalangan pemain muda seperti Rafie Mat Yaacob yang sangat berbeza dilihat pada musim ini beserta pemain-pemain lain termasuk di bangku simpanan,” katanya.

Satu-satunya keputusan seri yang berjaya diraih UiTM FC musim ini ialah ketika mengikat Penang FC di Stadium Bandaraya manakala empat perlawanan lain menyaksikan UiTM FC tewas kepada Terengganu FC (1-2); Kuala Lumpur City FC (0-1), Johor Darul Ta’zim (0-4), dan Kedah Darul Aman FC (0-1).

Malah, UiTM FC hanya mampu merekodkan satu gol dalam lima perlawanan - kelab paling rendah menyumbat jaringan daripada kesemua 23 kelab termasuk daripada Liga Premier.

Artikel Berkaitan: