X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Menteri minta BAM segera persiapkan Zii Jia ke Tokyo

Reezal Merican mencuba aktiviti bermotosikal ketika melawat ruang pameran Retro Havoc E-motorshow pada Program [email protected] di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Rabu. -Foto: Bernama
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) diminta untuk segera mempersiapkan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sebagai pencabar pingat pada Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kejayaan pemain itu merangkul gelaran Seluruh England menjadikannya sebagai antara pemain digeruni, sekali gus menyaksikan permainan Zii Jia dikaji dan dianalisis semua pesaing yang mahu menewaskannya pada kejohanan akan datang.

"Zii Jia kini menjadi kuasa untuk diberi perhatian. Mereka membuat analisis perlawanan dari segi kesilapan dan kekuatan pemain itu. Saya dah minta BAM, jurulatih dan ketua bahagian teknikal (Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann) supaya jangan mengambil masa panjang untuk meneliti.

"Paling penting ialah sejarah terakhir kita nak beliau capai ialah bawa pulang pingat emas pertama negara. Seandainya ia menjadi realiti, ia perkhabaran jauh lebih baik daripada memenangi kejohanan-kejohanan lain," katanya selepas majlis penyampaian hadiah [email protected] di Menara KBS, di sini, pada Rabu.

Reezal Merican turut berharap Zii Jia meneruskan prestasinya pada kejohanan akan datang termasuk di Terbuka Malaysia pada Mei sehingga berlangsungnya Sukan Olimpik Tokyo.

Pemain kelahiran Alor Setar itu muncul juara Seluruh England selepas menampilkan semangat juang tinggi pada perlawanan akhir untuk menewaskan juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9, di Utilita Arena Birmingham pada Ahad lepas, selepas mengejutkan pemain nombor satu dunia Kento Momota pada suku akhir.

Sementara itu, Reezal Merican berkata penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang dijadualkan bermula 29 hingga 31 Oktober depan, perlu penelitian bersama Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) berikutan peningkatan kos penganjuran akibat prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung Covid-19.

"Secara prinsipnya kita telah dapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara untuk penganjuran melibatkan peserta dari luar negara, tetapi ia tertakluk kepada penelitian KBS bersama MAM.

“Kalau kita kena buat dengan SOP ketat seperti berasaskan pendekatan kuarantin dan beberapa kali menjalani ujian calitan, kadang-kala kosnya tinggi.

"Kejohanan Terbuka Malaysia juga perlu lalui kos yang jauh tinggi daripada kebiasaan kerana setiap pemain perlu jalani ujian calitan dan penempatan kuarantin. Bagi sukan permotoran melibatkan marshal yang ramai, sudah pasti kos lagi tinggi," jelasnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!