X

Kindly register in order to view this article
!

Penjaja di simpang lampu isyarat masih beroperasi

Penjaja mangga di Greenwood, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti menjaja makanan di persimpangan lampu isyarat di Gombak dan ibu kota masih berlaku meskipun peniaga tahu tindakan tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan saman.

Tinjauan Sinar Harian di persimpangan lampu isyarat di susur keluar Sentul dari Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan di Greenwood di sini pada Selasa mendapati aktiviti tersebut masih berlaku.

Dua kawasan tersebut sebelum ini merupakan lokasi 'hotspot' aktiviti penjaja dengan sekurang-kurangnya tiga atau lebih individu akan menjual buah mangga dalam satu masa.

Bagaimanapun, tinjauan pada sekitar jam 1 tengah hari Selasa mendapati hanya dua orang lelaki di lihat menjaja di Greenwood.

Di simpang empat menghala Sentul pula hanya terdapat seorang penjaja kelihatan berada di lokasi sekitar jam 1 tengah hari, namun sekitar jam 3 petang, individu tersebut dilihat meninggalkan lokasi.

Seorang pengguna jalan raya, Mohd Hisham Ismail, 40, berkata, aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat Greenwood sudah tidak banyak seperti sebelumnya.

Dia yang kerap melalui jalan itu juga melihat sambutan pembeli di persimpangan lampu isyarat sudah berkurangan berbanding sebelum ini.

"Selepas amaran polis yang individu membeli mangga di persimpangan lampu isyarat boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000, saya lihat pengguna mula takut dan akur dengan larangan itu.

"Mungkin atas faktor itu juga penjual di lokasi sama sudah berkurangan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, walaupun kasihan dengan peniaga yang terjejas pendapatan, namun dia menyokong ketegasan polis menguatkuasakan tindakan undang-undang tersebut.

"Ia untuk keselamatan bersama. Kalau berlaku kemalangan, pihak mana yang akan dipersalahkan?

"Peniaga tak patut membahayakan diri berniaga di jalan yang sibuk. Mereka boleh cari alternatif menjaja di kawasan lain atau membuka payung. Pastikan di lokasi selamat dan tak ada kacau ganggu," katanya.

Seorang lagi pengguna jalan raya, Noraini Abas, 33, berkata, dia melihat ketegasan polis itu wajar dengan situasi semasa.

"Jika tak kawal sekarang, takut jadi semakin tak terkawal di kemudian hari. Lagipun persimpangan lampu isyarat bukan tempat untuk berniaga.

"Peniaga kena cari lokasi yang lebih sesuai. Jangan bahayakan diri dengan memikirkan untung sahaja," katanya.

Peraturan Kaedah 10A(1) LN 166/59 menetapkan individu yang menjaja di persimpangan lampu isyarat boleh dikenakan tindakan saman.

Mengikut peraturan itu, tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di atas mana-mana jalan raya.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!