Penyelia taska dirompak lelaki bersenjata senapang angin

MOHD ADLI
MOHD ADLI
A
A
A

HULU TERENGGANU - Penyelia taska di Kuala Berang, di sini berdepan detik cemas apabila seorang lelaki menceroboh masuk melalui pintu belakang taska sebelum mengacukan senapang angin di dahi dan meminta wang dalam kejadian jam 9.30 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 56 tahun itu berada di bahagian dapur premis berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati seorang lelaki telah menceroboh masuk melalui pintu belakang taska.

"Suspek seterusnya mengacu senapang angin pada bahagian dahi mangsa yang ketika itu berada di bahagian dapur sambil meminta wang," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa yang enggan menyerahkan wang bertindak menepis senjata api menyebabkan suspek melepaskan tembakan mengenai lantai dapur taska terbabit.

Susulan itu, berlaku adegan tarik menarik sehingga suspek berjaya melarikan beg tangan mangsa.

"Mangsa mengalami kerugian wang tunai RM4,000 selain turut kehilangan barangan kemas, telefon bimbit dan dokumen peribadi.

"Suspek turut memecahkan cermin tingkap nako di bahagian dapur premis terbabit sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Adli berkata, ketika kejadian, terdapat enam kanak-kanak di premis terbabit dan tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

"Pihak polis masih menyiasat kes ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta segera menghubungi balai polis berhampiran," katanya.