Sila log masuk terlebih dahulu.

Ipoh bakal jadi bandar raya pintar keempat negara

Saarani (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh di Hotel Kinta Riverfront di Poh, Perak pada Selasa.
Saarani (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh di Hotel Kinta Riverfront di Poh, Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Ipoh bakal menjadi bandar raya pintar keempat negara menjelang tahun 2030, kata Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata, satu Pelan Tindakan Bandar Pintar dihasilkan menerusi kerjasama pelbagai pihak dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi mencapai tujuan tersebut.

Menurutnya, kerjasama itu antaranya membabitkan perjanjian persefahaman antara PLANMalaysia, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Sains Malaysia (USM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Sunway Berhad.

"Kerjasama ini membolehkan Ipoh dibangunkan secara integrasi bukan berasingan. Selepas ini, banyak perkara akan dibangunkan untuk warga bandar raya hidup dengan aplikasi teknologi.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh dan semua yang terlibat menjayakan Pelan Tindakan Bandar Pintar ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh di Hotel Kinta Riverfront di sini pada Selasa.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin; Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Saarani berkata, pelan tindakan tersebut akan dimulakan di Ipoh selaku ibu negeri sebelum diperluaskan ke bandar-bandar lain di negeri ini.

Menurutnya, pelan tindakan tersebut penting kerana ia akan menjadikan Perak sebagai negeri Pintar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam ucapannya, Saarani berkata, Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh menyasarkan tujuh domain iaitu Kehidupan Pintar, Persekitaran Pintar, Pentadbiran Pintar, Warga Pintar, Infrastruktur Digital Pintar, Ekonomi Pintar dan Mobiliti Pintar sebagai solusi kepada 24 cabaran perbandaran serta potensi yang telah dikenal pasti di bandar raya itu.

Menurutnya, pelan tindakan tersebut telah mengenal pasti 37 projek yang menggariskan empat fasa pelaksanaan dalam tempoh 10 tahun iaitu merangkumi projek quick win, projek jangka pendek, projek jangka sederhana dan projek jangka panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, TNB turut terlibat dalam menjayakan pelan berkenaan untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar raya pintar yang lestari.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, bagi tujuan itu, TNB menerusi anak syarikatnya, GSPARX Sdn Bhd bekerjasama dengan MBI untuk pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) menerusi program Solar Energy Purcashing (SEP).

Menurutnya, pemasaran panel PV itu akan dipasang di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini.

Jelasnya, melalui program itu, MBI merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak yang menjalinkan kerjasama dengan TNB dan GSPARX Sdn Bhd manakala UTC Perak merupakan UTC pertama menggunakan PV tersebut.

"Pemasangan PV ini bukan sahaja melestarikan alam sekitar malah mampu memberi penjimatan bil elektrik kepada MBI sehingga RM2.5 juta bagi tempoh 21 tahun kontrak Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE).

"Kami di TNB dan GSPARX amat komited dalam menjayakan usaha menjadikan Ipoh sebagai bandar raya pintar lestari yang lebih bersih, hijau dan maju," katanya.

Bagi Jeffrey pula, pihaknya akan membuat pelaburan sekitar RM2 bilion dalam masa tujuh tahun bagi menyediakan pelbagai kemudahan seperti hospital, kompleks membeli-belah dan sebagainya di Bandar Sunway Ipoh.

Katanya, pelaburan itu sebagai salah satu usaha bagi menjayakan Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh tersebut.