Covid-19: Lebih 1 juta murid di Kenya duduki peperiksaan

Seorang murid di sebuah sekolah di Nairobi, Kenya. Foto Xinhua
Seorang murid di sebuah sekolah di Nairobi, Kenya. Foto Xinhua
A
A
A

NAIROBI - Selepas lima bulan tertangguh, peperiksaan kebangsaan sekolah rendah di Kenya akhirnya bermula pada Isnin di tengah peningkatan kadar kematian Covid-19, lapor Agensi Anadolu.

Peperiksaan Sijil Pendidikan Rendah Kenya (KCPE) akan berakhir pada Rabu dengan 1.187 juta calon menduduki peperiksaan itu di seluruh negara.

Suruhanjaya Perkhidmatan Guru (TSC) berkata, pihaknya sudah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan semua murid yang terjejas kerana isu seperti banjir dan Covid-19 dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.

"Setiap anak yang menduduki peperiksaan dipantau dan berhak mendapat peluang," kata Pengerusi Suruhanjaya Nancy Njeri Macharia. Namun, masih ada dalam kalangan ibu bapa yang bimbang.

"Sebagai ibu bapa, saya berpendapat langkah adakan peperiksaan itu agak terburu-buru, tetapi saya mengucapkan selamat berjaya kepada semua.

"Kebimbangan saya adalah keselamatan anak-anak kita semasa peperiksaan,” kata Loise Gakii Wangari, ibu kepada murid Sekolah Rendah Salama di Nairobi.

Kertas KCPE biasanya dijadualkan pada November, namun kalendar pendidikan terjejas oleh pandemik dan murid sudah hampir setahun tidak ke sekolah.

Pada Isnin, sejumlah 1,130 orang disahkan positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 122,040. Seramai 12 orang lagi meninggal dunia, menambah angka kematian kepada 2,023, manakala kes pulih seramai 90,376.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 Mac, negara Afrika Timur itu mencatatkan 28 kematian akibat Covid-19. - Bernama