Konsep B2B diguna bagi kereta nasional ketiga

Darell
Darell
A
A
A

KUALA LUMPUR – Konsep perniagaan kepada perniagaan (B2B) berkemungkinan diguna pakai bagi projek kereta nasional ketiga, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Ketika ditanya sama ada kerajaan melihat konsep usaha sama dalam membangunkan projek itu, beliau berkata perkara itu belum dimuktamadkan.

Darell berkata, kerajaan kini sedang meneliti lebih 20 tawaran diterima daripada pihak swasta yang berminat menjadi sebahagian daripada projek berkenaan.

Bagaimanapun, tegasnya, projek itu tidak akan melibatkan dana kerajaan.

"Kerajaan hanya akan menyokong daripada segi pelesenan dan insentif. Perkara ini akan kita umum apabila keputusan telah dibuat," katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi kementerian tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, inisiatif mewujudkan kereta nasional ketiga bukanlah untuk bersaing dengan kereta nasional sedia ada, sebaliknya bertujuan memberi peluang kepada anak tempatan berinovasi dan membuka pasaran baharu.

"Kerajaan mengambil maklum kebimbangan semua, tetapi kita perlu ingat dengan pasaran Asean seramai 640 juta penduduk, kita tidak perlu takut kepada persaingan. Kita mahu kembalikan daya saing negara seperti dahulu.

"Kereta nasional ketiga mempunyai konsep untuk dijual di Asean dan dengan kira-kira 4,000 jenis komponen, negara Asean lain mungkin berminat untuk menyediakannya dan mewujudkan ekonomi baharu kepada kita dan Asean," kata Darell. - Bernama

Artikel Berkaitan: