Putera Mahkota dijangka sentuh kerjasama ekonomi Malaysia-Arab Saudi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman yang akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia hujung minggu ini antara lain dijangka menyentuh mengenai hubungan dan kerjasama ekonomi Jeddah-Kuala Lumpur, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai lawatan Putera Mahkota Arab Saudi itu, beliau berkata, lawatan itu lebih menjurus kepada hal ehwal ekonomi dan perniagaan.

"...dan saya cadangkan kepada anda selain saya, anda (wartawan) bertanya juga kepada Datuk Seri Azmin (Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali)," katanya ringkas selepas menghadiri sesi perbincangan meja bulat bersama kumpulan belia, di sini, hari ini.

Agensi berita asing melaporkan Mohammed, yang merupakan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan Arab Saudi sedang dalam rangka lawatan ke beberapa negara Asia dimulakan dengan lawatan ke Pakistan minggu ini.

Dari Islamabad, Putera Mahkota Arab Saudi itu dijadual tiba di Kuala Lumpur pada Ahad untuk lawatan rasmi dua hari sebelum meneruskan lawatan ke Indonesia pada Isnin dan selepas itu ke India.

Lawatan Mohammed ke Malaysia adalah yang pertama selepas beliau dilantik sebagai Putera Mahkota Arab Saudi pada Jun 2017. - Bernama

Artikel Berkaitan: