Udang baring muncul di PCB

Orang ramai tidak melepaskan peluang menyungkur dang geragau di PCB. Gambar kecil: Udang geragau yang diperolehi ada dijual dan dibuat makan sendiri.
Orang ramai tidak melepaskan peluang menyungkur dang geragau di PCB. Gambar kecil: Udang geragau yang diperolehi ada dijual dan dibuat makan sendiri.
A
A
A

KOTA BHARU - Penduduk di sekitar Pantai Cahaya Bulan tidak melepaskan peluang menyungkur udang geragau yang muncul di pantai berkenaan sejak Ahad.

Kejadian itu sebenarnya jarang berlaku di perairan negeri ini.

Bagaimanapun, kumpulan berbilion udang geragau atau dipanggil udang baring dalam kalangan masyarakat Kelantan muncul kali kedua tahun ini selepas dua minggu lalu.

Seorang penduduk, Iman Rosli, 25, berkata, fenomena udang geragau di PCB jarang berlaku dan kebiasaannya hanya diketahui oleh penduduk sekitar kerana muncul sekejap antara dua hingga tiga hari.

“Biasanya udang bersaiz kecil ini muncul semasa cuaca panas terik dalam setahun sekali, ada tahun yang tidak ada langsung. Tahun ini, kali kedua dalam tempoh dua minggu.

“Sebab jarang berlaku, penduduk segera ambil peluang menyungkur sewaktu air surut dengan menggunakan pukat atau jaring berlubang kecil malah ada yang menggunakan kelambu,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, dia bersama lebih 10 rakannya terdiri daripada nelayan memperoleh lebih 200 kilogram (kg) udang geragau dalam tempoh tiga jam menyungkur.

“Ada yang dibahagi-bahagikan kepada penduduk manakala sebahagian lagi kami jual dengan harga RM5 sekilogram.

Artikel Berkaitan:

“Di Kelantan, udang segar dari laut ini sedap dibuat kerabu mangga atau som tam. Di Melaka pula popular dibuat belacan dan cencalok,” katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri, Zaidi Mohd Nor, 51, dan Mazila Ahmad, 40, memperoleh 5kg udang geragau hasil menyungkur setengah jam di pantai itu.

“Kami gunakan kelambu dan pergi ke air paras pinggang saja dalam jarak kira-kira 100 meter dari pantai.

“Ini pengalaman pertama kami menyungkur udang geragau untuk makan bersama keluarga dan sedap dimasak pais,” katanya.

Seorang lagi suri rumah, Siti Nor Mazilah Mat, 35, datang ke pantai itu bersama empat beranak selepas mengetahui kemunculan udang geragau daripada penduduk setempat.

“Ini rezeki daripada ALLAH. Dalam kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19, ramai terjejas pendapatan.

“Tangkap udang ini boleh buat makan sekeluarga atau dijual untuk mendapatkan wang,” katanya.