X

Kindly register in order to view this article
!

Usia 70 tahun sepatutnya tidak layak jadi calon pilihan raya

KHAIRUL SHAHRIL
A
A

IPOH - Individu dan pemimpin parti yang sudah mencapai usia 70 tahun ke atas sepatutnya tidak lagi layak bertanding dalam pilihan raya.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, mereka sepatutnya mengundur diri daripada bertanding agar kekosongan itu boleh diisi pemimpin muda.

Menurutnya, situasi yang berlaku ketika ini telah memperlihatkan generasi pimpinan muda tidak dapat ke hadapan apabila mereka yang berusia 70 tahun dan ke atas masih mahu menjadi calon.

"Secara peribadi saya merasakan mereka yang sudah berusia 70 tahun ke atas tak perlulah lagi bertanding. Mereka tak layak lagi untuk jadi wakil rakyat.

"Saya pernah suarakan perkara ini dalam mesyuarat perwakilan Wanita UMNO dahulu. Mana kita nak letak muka sekiranya ada calon UMNO dari kalangan 70 tahun ke atas.

"Platform orang muda ini kena disediakan orang-orang lama, jadi bila lagi mereka nak isi tempat kalau yang dah berusia itu tetap mahu menjadi calon," katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Dewan Belia Perak 2021 di sini pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 100 ahli Parlimen di Malaysia ketika ini berusia antara 61 hingga 79 tahun termasuk empat orang berusia 80 tahun ke atas.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, ketetapan terhadap had umur itu adalah penting dengan mengambil kira pelbagai faktor lain yang lebih munasabah terutama kesihatan.

"Pada saya yang berusia 60 tahun masih boleh (jadi calon) atas dasar beberapa pertimbangan tetapi mereka yang berusia 70 tahun ke atas ini eloklah tidak bertanding," katanya.

Pada 4 Mac lepas, Majlis Belia Negeri (MBN) Perak menggesa semua parti politik meletakkan lebih ramai calon muda bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar faktor usia tidak lagi dijadikan alasan untuk Parlimen tidak bersidang.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden MBN Perak, Aswannudin Hariffudin selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi alasan Parlimen tidak boleh bersidang kerana mengambil kira faktor kesihatan ahli Parlimen yang berusia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!