Pyongyang terdesak selamatkan rejim Jong-un

Rejim Presiden Kim Jong-un cuba mempertahankan dinasti pentadbiran Korea Utara melalui perolehan dana pasaran gelap dianggap antara faktor utama hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara terputus secara drastik.
Rejim Presiden Kim Jong-un cuba mempertahankan dinasti pentadbiran Korea Utara melalui perolehan dana pasaran gelap dianggap antara faktor utama hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara terputus secara drastik.
A
A
A

DALAM ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara pada 19 Mac lalu ramai tidak menyedari, Malaysia sebenarnya merupakan antara negara terawal menjalinkan hubungan antarabangsa dengan negara republik itu bermula tahun 1973.

Langkah memperkenalkan dasar luar yang bebas (kecuali dengan Israel), Malaysia membuktikan jalinan diplomatik dengan bekas negara komunis itu mampu mencapai aspek memberangsangkan terutama dalam bidang diplomatik dan perdagangan.

Berdasarkan sebuah kajian dijalankan Universitas Pendidikan Ganesha dari Indonesia, Malaysia dan Korea Utara bekerjasama dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang pasaran pekerjaan apabila sebanyak 300 rakyat Korea Utara diambil bekerja di lombong arang batu di Sri Aman, Sarawak pada tahun 2009.

Lebih menarik, setelah Malaysia membuka kedutaan di Korea Utara pada tahun 2004, rakyat negara ini dibenarkan ke negara republik itu tanpa visa dengan syarikat penerbangan Korea Utara, Air Koryo.

Bagaimanapun, umum mengetahui tragedi pembunuhan Kim Jong-nam, saudara tiri pemimpin Tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada tahun 2017 mengubah segala-galanya.

Peristiwa pembunuhan Jong-nam oleh empat individu dipercayai agen saraf VX, diakui menjadi titik tolak ketegangan hubungan Malaysia-Korea Utara yang menyaksikan Duta Khas Korea Utara, Kang Chol pada mulanya diusir susulan mengeluarkan kenyataan provokatif.

Semenjak itu, hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara ibarat ‘suam-suam kuku’, walaupun Malaysia akhirnya memanggil kembali duta negara republik itu.

Setelah hampir empat tahun, Korea Utara akhirnya membuat keputusan drastik bagi memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Hal ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal bulan ini membenarkan ekstradisi ahli perniagaan Korea Utara, Mun Chol Myong ke Amerika Syarikat (AS) di atas kesalahan menyeludup barangan mewah larangan dari Singapura ke Korea Utara serta pengubahan wang haram yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Teori pembunuhan Jong-nam

Justeru, apakah faktor utama yang menyebabkan keputusan drastik itu dibuat Korea Utara? Adakah status keselamatan ahli perniagaan Korea Utara berkenaan dianggap lebih bernilai berbanding nyawa darah daging Jong-un sendiri?

Menjawab persoalan itu, Presiden Gerakan Keadilan Sedunia, Dr Chandra Muzaffar berpandangan senario kematian saudara tiri Kim Jong-un dengan situasi Chol Myong dibenarkan diekstradisi ke AS sebenarnya memberi implikasi berbeza kepada Korea Utara.

Jelas beliau, meskipun mendiang Kim Jong-nam yang dibunuh mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Tertinggi Korea Utara itu, namun terdapat teori mengaitkan kematian beliau atas arahan Jong-un sendiri.

“Dari sudut geopolitik dunia, mendiang Jong-nam secara tidak langsung dikatakan memainkan peranan konstruktif dengan negara-negara yang bermusuh dengan Korea Utara untuk memberi tekanan kepada pentadbiran Korea Utara di bawah Jong-un.

“Atas faktor itu, hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara masih bertahan meskipun peristiwa pembunuhan Jong-nam memberi implikasi besar kepada kedua-dua negara,” katanya.

Mengenai kes ekstradisi Chol Myong yang menimbulkan tindak balas luar biasa Korea Utara, penyelidik politik antarabangsa daripada Leiden University, Belanda, Abdul Muein Abadi berpendapat keputusan itu memberi kesan besar kepada kestabilan rejim Jong-un.

Ini disebabkan rejim Jong-un selama ini bergantung kepada dana ‘pasaran gelap’ daripada luar negara untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa domestik.

Peluru berpandu

Ujarnya, Chol Myong boleh dianggap sebagai ‘ejen’ rejim Jong-un bagi menjalani aktiviti pengubahan wang serta penyeludupan barangan mewah daripada luar negara.

“Dalam keadaan sekatan PBB membebankan Korea Utara, rejim Jong-un memerlukan dana ‘pasaran gelap’ daripada luar negara sebagai sumber kelangsungan rejim beliau.

“Selain sekatan PBB ke atas ekonomi Korea Utara susulan usaha Pyongyang bertegas membangunkan senjata nuklear, sistem ekonomi politik republik itu ala komunis, terlalu tertutup, tidak mesra modal asing serta menjurus kepimpinan dinasti turut menyebabkan rejim Jong-un sukar mencari dana diperlukan,” katanya.

Peluru berpandu jarak jauh Hwasong-15 dikatakan boleh diterbangkan sejauh 12,874 kilometer. (Gambar kecil: Dr Chandra Muzaffar & Abdul Muein)
Peluru berpandu jarak jauh Hwasong-15 dikatakan boleh diterbangkan sejauh 12,874 kilometer. (Gambar kecil: Dr Chandra Muzaffar & Abdul Muein)

Menurut Chandra, tindakan drastik Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia boleh diinterpretasi berdasarkan dua faktor.

“Faktor pertama, saya melihat kepimpinan Korea Utara mahu memberi isyarat jelas kepada dunia bahawa mereka sanggup bertindak dengan apa jua cara bagi mempertahankan kepentingan rakyat negara mereka.

“Faktor kedua pula, Korea Utara itu juga mahu membuktikan kepada negaraa jiran di rantau Asia bahawa mereka tidak boleh dibuli sesuka hati dengan perbuatan mengekstradisi rakyat mereka ke negara musuh seperti AS,” katanya.

Abdul Muein, dalam pada itu mempertahankan keputusan tegas diambil kerajaan Malaysia dengan mengarahkan kakitangan kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur untuk meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam pada 19 Mac.

Beliau menegaskan dakwaan AS sebagai dalang di sebalik kes ekstradisi Chol Myong sebagai tidak berasas.Berhubung status Korea Utara sebagai negara keempat dunia memiliki kuasa ketenteraan terbesar termasuk program senjata nuklear, Abdul Muein yakin Pyongyang tidak akan melancarkan peluru berpandu nuklear mereka ke negara ini meskipun hubungan diplomatik sudah berakhir.

“Langkah terburu-buru itu bukan sahaja akan mengasingkan rejim Kim dengan lebih dahsyat daripada komuniti antarabangsa, bahkan bakal membawa kepada tindak balas kuasa besar lain yang turut memiliki kepentingan strategik di negara kita, seperti AS dan China,” katanya.

INFO

Mengenai kekuatan peluru berpandu Korea Utara

- Hwasong-14

Peluru berpandu balistik antara benua.

Mampu terbang sehingga 10,058 kilometer.

Korea Utara telah melakukan dua kali ujian pada tahun 2017.

- Hwasong-15

Peluru berpandu balistik antara benua.

Mampu terbang sehingga 12,874 kilometer.

Korea Utara amat berbangga dengan Hwasong-15 yang didakwa cukup untuk sampai ke Amerika Syarikat.

- Pukguksong-4

Peluru berpandu balistik kapal selam.

Peluru berpandu ini dikatakan lebih panjang daripada Hwasong-15.

Mula ditayangkan Korea Utara pada hujung tahun 2020 dalam satu perarakan sambutan Parti Pekerja ke-75.