Warta kawasan habitat Harimau Malaya sebagai hutan simpan: PM

Kerajaan negeri diminta untuk mewartakan kawasan habitat Harimau Malaya sebagai Hutan Simpanan Kekal atau Rizab Hidupan Liar.
Kerajaan negeri diminta untuk mewartakan kawasan habitat Harimau Malaya sebagai Hutan Simpanan Kekal atau Rizab Hidupan Liar.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri diminta untuk mewartakan kawasan habitat Harimau Malaya sebagai Hutan Simpanan Kekal atau Rizab Hidupan Liar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu perlu diambil bagi mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar.

Selain itu katanya, ia turut membolehkan pergerakan bebas hidupan liar khususnya spesis-spesis ikonik negara yang diancam kepupusan.

"Sekiranya tindakan luar biasa atau extra ordinary actions tidak dilakukan sekarang, negara pasti akan kehilangan spesies ikonik terutamanya Harimau Malaya buat selama-lamanya.

"Justeru, saya menyeru kerajaan negeri mengambil tindakan untuk mewartakan kawasan habitat Harimau Malaya sebagai Hutan Simpanan Kekal atau Rizab Hidupan Liar," katanya pada Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia Sempena Hari Hutan Antarabangsa 2021 di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau turut menghargai komitmen yang ditunjukkan kerajaan negeri dalam mewartakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar iaitu Hutan Simpanan Kekal, kawasan perlindungan, Rizab Hidupan Liar dan kawasan berkepentingan antarabangsa seperti Tapak Ramsar dan Tapak Manusia dan Biosfera (MAB).

Selain itu beliau berkata, kerajaan negeri turut diseru agar mempertingkatkan usaha mewartakan dan mengekalkan kawasan berhutan terutamanya kawasan koridor ekologi Central Forest Spine (CFS) dan Heart of Borneo (HoB).

"Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) yang sedang dimuktamadkan turut memberi penekanan kepada CFS bagi menjamin kesinambungan landskap hutan menerusi penubuhan koridor ekologi baharu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pendekatan itu diyakini akan mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar.