'Saya menangis tengok sungai tercemar'

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

[WAWANCARA] Perbezaan politik diketepikan demi untuk memastikan kebajikan dan keperluan rakyat diutamakan dalam menangani isu air dan alam sekitar di negara ini, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Setiap negeri masing-masing ada kepentingan. Kadang-kadang ada polemik di antara negeri-negeri. Ditambah pula kalau ada perbezaan politik.

"Isu air dan alam sekitar antara isu merentasi parti politik. Saya ambil tindakan dengan tidak mengambil kira isu perbezaan politik. Kita kena pentingkan isu kebajikan dan keperluan rakyat," katanya.

Ikuti wawancara Sinar Ahad yang dikendalikan oleh wartawan Khairil Anwar Mohd Amin, Raja Nur Faznie Aida dan Muhammad Amnan Hibrahim di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di Putrajaya baru-baru ini.

SINAR AHAD: Selepas satu tahun menerajui KASA, bagaimana Datuk Seri melihat prestasi kementerian. Sejauh mana perancangan atau projek-projek yang diselia oleh KASA tercapai?

TUAN IBRAHIM: Kewujudan KASA serentak dengan kewujudan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Sebelum ini agensi KASA berada dalam pelbagai kementerian tetapi apabila diwujudkan kerajaan PN, maka kita tubuhkan satu kementerian khas untuk jaga alam sekitar dan sektor air.

Jadi, ada dua elemen. Apabila kedua-dua ini digabungkan, saya rasa ini adalah satu kejayaan yang besar kerana sebelum ini usaha untuk meletakkan sektor air di bawah alam sekitar amat sukar.

Apabila saya ambil alih, apa yang saya buat ialah dengan mengadakan satu perbincangan dengan pegawai kementerian tertinggi untuk melihat apa yang telah dibangunkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Kedua, kita meletakkan satu pelan hala tuju kementerian untuk 10 tahun bermula tahun 2020 hingga 2030. Ada yang melibatkan pindaan peraturan.

Ini kerana apabila banyak pencemaran, kita perlu ada pemantauan yang kuat. Akta yang ada sekarang ini ialah Akta 1974, jadi kita perlu semak balik. Kita lihat adalah keperluan untuk tingkatkan denda sehingga RM10 juta dan mandatori penjara.

Ini antara perubahan yang kita buat. Ada juga kita kekalkan dengan polisi lama yang saya fikir positif dan bagus. Ini kerana kita bukan hanya ada komitmen dengan peringkat negeri tetapi dengan agensi antarabangsa.

Ketiga, kita tubuh satu unit jenayah alam sekitar. Kita bekerjasama dengan pihak polis untuk menyiasat punca berlakunya pencemaran.

Bukan itu sahaja, kita juga akan mendapatkan maklumat berhubung siasatan forensik. Setakat ini tindakan forensik kita dilihat sangat berkesan.

Keempat, kemudahan teknologi. Sebagai contoh penggunaan dron. Ini penting bagi memastikan tugas dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

Fokus utama kita ialah kita nak jaga sumber air. Kita akan bina 10,000 kilometer denai di tepi sungai sebagai kawasan rekreasi dan taman awam sehingga menjelang tahun 2030 sebagai langkah pencegahan pencemaran di kawasan itu.

Selain denai sungai, kita juga tingkatkan perkhidmatan air. Kita bakal perbanyakkan loji dan lihat bagaimana sumber air ini menjadi bahan dan dana sumber kewangan bagi negeri-negeri yang ada air.

Sekarang ini kita sudah pun melaksanakan pengkelasan air yang mana ia akan dikelaskan dengan gred-gred tertentu seperti gred satu dan gred dua.

Kedua-dua gred ini mungkin merangkumi kualiti air yang bagus, jernih dan mempunyai takungan yang baik. Bila kita ada bekalan air bersih, syarikat operator air akan jimat kos rawatan.

- Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai isu perjanjian penjualan air di antara negeri-negeri ?

Sumber air adalah di bawah kerajaan negeri. Kerajaan Pusat tiada kuasa. Apa yang kita boleh usahakan ialah dengan mewujudkan satu mekanisme supaya semua negeri ikut garis panduan yang ditetapkan.

Isu penjualan air ini membabitkan Pahang dan Selangor, itu sahaja. Alhamdulillah. kita ada Majlis Air Negara iaitu satu agensi yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri dan ahlinya. Selain KASA, banyak kementerian lain terlibat termasuk Menteri Besar. Badan ini ditubuhkan bagi membincangkan hal-hal berkaitan isu air meskipun ia sebenarnya di bawah kerajaan negeri.

Syarikat operator air boleh buat pinjaman daripada agensi kementerian untuk bangunkan sektor air. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan lesenkan kepada agensi itu dan operator mesti ikut peraturan yang dilesenkan.

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim

Ini kaedah kita nak kawal selia. Bukan nak ambil alih tugas, tetapi nak kawal selia supaya pengguna dapat bekalan air yang baik, sumber air tidak terganggu, kemudian elemen pengawasan kepada sumber dapat kita jaga.

Hasrat saya kalau boleh kita lihat semua kawasan yang tiada air ini digazetkan sebagai kawasan hutan simpan kekal yang tak boleh diberi lesen pembalakan tetapi ini bidang kuasa kerajaan negeri.

Cuma pandangan kami di peringkat kementerian, semua kawasan tadahan air dan semua kawasan sumber air penduduk hendaklah digazetkan kawasan itu supaya jangan bagi pembalakan.

Pada masa depan kita bakal berdepan dengan isu besar iaitu isu air. Sumber air kita semakin cetek dan tercemar.

Ada rakyat yang masih bergantung kepada air bukit, dia pergi jauh daripada sumber utama paip. Jadi bergantung pada air bukit. Apabila pembalakan berlaku, sumber air akan kering dan sungai makin cetek. Jadi kita harap dengan adanya Majlis Air Negara ia akan memandu ke arah yang lebih baik.

- Adakah ia menjadi satu cabaran kepada KASA apabila isu air dan pembalakan ini berlaku meskipun ia sebenarnya di bawah kerajaan negeri?

Di peringkat pusat, pembalakan di bawah Kementerian Sumber Asli tetapi bidang kuasa hutan masih di bawah kerajaan negeri. Kita tidak mahu ambil alih tugas dan tidak mahu campur tangan.

Cuma bagi kita, kita kawal selia di peringkat kementerian, kita selalu bincang dengan kerajaan negeri sebab kerajaan negeri pun memang perlu pergantungan sebab nak membangunkan sektor air ini, besar bajetnya dan mencecah berbilion ringgit. Kalau kita tidak urus dengan betul, kita akan habis belanja yang banyak.

Alhamdulillah, baru-baru ini kita berjaya menandatangani satu migrasi air dengan semua kerajaan negeri. Kita hapus kira satu bilion hutang kerajaan negeri Pahang.

Kaedahnya ialah semua aset air dinilai. Katalah kita nilai lebih kurang RM1.4 bilion, semua ini dicagar kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAP). PAAP biaya semua sekali, jadi syarikat air negeri ada duit dan bayar hutang tersebut dalam tempoh 40 tahun.

Lima tahun pertama tak perlu bayar lagi. Dengan harapan selepas lima tahun mereka akan stabil dan akan mula bayar kepada PAAP. Ini adalah kaedah yang kita buat.

Baru-baru ini kita minta kerajaan Pulau Pinang ambil alih untuk Empangan Mengkuang fasa satu yang mana sebelum ini sudah tersangkut lama. Kalau kita tidak buat penyerahan, kerajaan Pusat kena tampung banyak perkara.

Saya ada tiga lagi perkara yang dalam proses termasuklah bekalan air daripada Perak ke Pulau Pinang. Itu masih belum selesai dan kita perlu bincang. Untuk isu bekalan sumber air di Melaka ia mula menjadi kritikal apabila tiba waktu kemarau.

Kementerian menghadapi masalah untuk membangunkan semua lembangan sungai di sempadan ekoran daripada isu yang ditimbulkan oleh beberapa negeri.

Justeru, kena ada satu pusat untuk urus masalah tersebut. Setiap negeri masing-masing ada kepentingan. Kadang-kadang ada polemik di antara negeri-negeri.

Ditambah pula kalau ada perbezaan politik. Seperti saya sebut tadi isu air dan alam sekitar antara isu merentasi parti politik. Saya ambil tindakan dengan tidak mengambil kira isu perbezaan politik. Kita kena pentingkan isu kebajikan dan keperluan rakyat.

- Air di Selangor sering mengalami gangguan bekalan sehingga ia menjadi satu kebiasaan. Jadi, di pihak KASA sendiri macam mana?

Bila berlaku perkara ini, saya turun sendiri sampai ke loji dan ambil tahu apa masalahnya. Pertama sekali, pergantungan pada satu sungai. Hampir empat lima loji bergantung pada satu sumber sahaja.

Katalah sungai Selangor tercemar, pasti semua loji akan ditutup. Bila lima loji ditutup, hampir 60 peratus rakyat tiada bekalan air. Jadi masalah kita ialah pencemaran.

Pencemaran ada dua. Pertama, pencemaran yang boleh kita kesan. Kita ada alat pengesan dan semua loji terlibat kita akan pasang. Kalau berlaku pencemaran dan perubahan pada keadaan air, sistem kita akan dapat kesan. Kedua, pencemaran bau. Pencemaran bau ini kita tiada alat untuk kesan.

Jadi untuk makluman, pengesanan di loji-loji akan dilakukan secara manual yang air diambil kemudian dihidu. Isunya, kita ambil air di loji bererti pencemaran dah masuk loji.

Kalau kita nak ambil air sungai, tunggu tepi sungai, satu kerja pula. Jadi, bila air dah masuk loji, kita hentikan loji. Jadi kita tidak boleh bagi notis. Jadi inilah yang menyebabkan penduduk mengalami gangguan bekalan air sehingga empat lima hari, malah seminggu. Bila berlaku demikian, apakah penyelesaian?

Selepas saya jadi menteri, saya wujudkan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS). Bila air sungai tercemar dan kita hentikan loji, kita boleh ambil air dari takungan kita.

Sekurang-kurangnya pengguna tidak terhenti bekalan air. TAPS ini boleh tampung sehingga 14 hari. Kemarau pun kita boleh tampung.

Kedua, isu margin simpanan. Di Selangor, margin simpanan sedikit sahaja iaitu 1.2 peratus. Kebanyakan negeri tidak ada. Justeru, margin simpanan perlu ditingkatkan.

Ketiga, air tidak berhasil (NRW). Kalau kita nak lihat sektor air kita ada kesan holistik dan menyeluruh. Jadi, ketiga-tiga komponen ini perlu ada.

- Dengan ketiga-tiga komponen tersebut terutamanya TAPS, adakah ini memberikan harapan kepada rakyat di Lembah Klang bahawa masalah air yang dihadapi mereka ini akan berakhir ?

Insya-ALLAH. Untuk Selangor ini, kementerian ada beberapa langkah besar yang sedang dilaksanakan. Yang pertama, kita akan bangunkan loji rawatan air (LRA) di dua tempat iaitu di Semenyih dan di Sungai Selangor. Dengan ini, Selangor akan memiliki dua sumber yang besar.

Yang kedua kita akan tingkatkan perpindahan air daripada Pahang iaitu daripada LRA Langat Dua fasa dua yang kita sedang bangunkan pada ketika ini. Dengan pembinaan ini, ia akan memaksimumkan air daripada Pahang yang boleh bertakung.

Yang ketiga, kita sedang membangunkan juga air daripada Sungai Klang melalui LRA Sungai Rasau. Dengan kesemua pembinaan ini, ia bermakna rancangan kita ialah untuk memperbanyakkan lagi TAPS.

- Untuk inisiatif yang Datuk Seri cadang dan rancang bersama KASA itu, berapa tempoh masa yang diperlukan untuk perkara itu dicapai sepenuhnya dan seterusnya menyelesaikan masalah air rakyat di Selangor?

Ada rancangan yang dijangka siap pada tahun 2023 iaitu dalam tempoh tiga tahun lagi. Ada yang lima tahun dan ada yang 20 ke 30 tahun. Ada yang segera.

Contohnya yang tahun 2023 ini, antara yang kita tengah usahakan ialah supaya air terawat ini digunakan untuk keperluan yang utama.

Sekarang ini semua air terawat kita guna untuk semua perkara termasuk basuh kereta dan siram pokok bunga, malah kilang industri pun menggunakan air terawat.

Tuan Ibrahim (kiri) diberi penerangan oleh Jurutera Jabatan Parit dan Saliran Kota Belud Jaffri Bahan (kanan) mengenai kawasan tambatan banjir yang akan dibina di sungai Tempasuk ketika melakukan lawatan di kawasan banjir dan projek tebatan banjir pada Sabtu. -Foto Bernama
Tuan Ibrahim (kiri) diberi penerangan oleh Jurutera Jabatan Parit dan Saliran Kota Belud Jaffri Bahan (kanan) mengenai kawasan tambatan banjir yang akan dibina di sungai Tempasuk ketika melakukan lawatan di kawasan banjir dan projek tebatan banjir pada Sabtu. -Foto Bernama

Jadi sekarang ini kita nak ubah dengan cara air yang dirawat daripada kilang industri itu kita akan bekalkan semula kepada kilang industri. Bukan untuk makan minum tetapi untuk industri.

Jadi kalau kita boleh nak tingkatkan hampir sejuta liter sehari bagi air yang dilepaskan ke sungai daripada setiap pusat kumbahan kita.

Kalau kita boleh manfaatkan air ini dan bangunkan ia supaya air yang terawat ini kita dapat hantar kembali kilang industri, Jadi mereka tak perlu guna air tapis yang kita bekalkan kepada penduduk.

- Kalau usaha ini berjaya dilakukan, berapa peratus penggunaan air terawat itu akan berjaya dijimatkan dan meningkatkan apa yang disebutkan sebagai margin simpanan tadi?

Kalau kita boleh bangunkan keseluruhan apa yang disebutkan tadi, ia menjimatkan hampir 40 peratus. Cuma sekarang ini isunya adalah pusat kumbahan kita ini masih lagi tidak bersepadu. Jadi, kita kena bangunkan fasiliti.

Sekarang ini kementerian dalam rangka untuk mewujudkan sebuah sistem loji kumbahan yang berpusat. Barulah kita boleh manfaatkan air tersebut.

Sekarang ini kalau untuk rumah itu satu bab tetapi bagi yang memiliki rumah besar, dia ada satu pusat kumbahan yang kecil.

Jadi kita nak selenggara pun payah sebab ia melibatkan jumlah yang banyak. Jadi di bawah Indah Water Konsortium (IWK), kita bangunkan pusat-pusat kumbahan bersepadu.

Kemudian kita hendak manfaatkan penggunaan air hujan. Sekarang ini, air hujan kita buang macam itu sahaja tetapi kita boleh takung dan guna untuk basuh kereta.

Cuma isunya takut air hujan tercemar, jadi kita perlu ada penapisan dan yang keduanya bila takung, nanti ada jentik-jentik pula. Itu dah jadi isu lain.

Jadi kita kena bangunkan kaedah supaya kita boleh manfaatkan air hujan dalam aktiviti seperti basuh kereta dan siram pokok bunga.

- Dua tahun lepas, menteri sebelum ini ada memberitahu bahawa terdapat 25 sungai yang tercemar di Malaysia. Apa usaha KASA mengenai isu ini ?

Baru-baru ini saya ada pergi ke satu sungai yang tercemar teruk iaitu Sungai Gong. Sungai ini airnya hitam dan tiada kehidupan. Kita ambil air dan periksa kadar oksigen dalam air pun peratusnya menunjukkan tiada benda boleh hidup dalam sungai ini.

Sebab itu saya bagitahu, sebelum sungai ini mati, kehidupan dalam itu akan mati dulu. Kadang-kadang saya akan pergi ke satu sungai sebab saya minat masuk hutan, bila saya pergi menyelam tengok, tiada ikan.

Ada satu sungai di Pahang, sungai ini tiada kehidupan walaupun airnya jernih dan cantik, tapi ikan dan udang kita tidak jumpa. Yang saya jumpa adalah tong racun, bekas baja dan bahan buangan.

Ini bermakna sungai ini sebenarnya penuh dengan bahan kimia seperti baja dan lain-lain yang dibuang daripada bahagian atas. Jadi bila berlaku macam itu, sungai ini sebenarnya bagi saya dah mati.

Walaupun istilah sungai mati itu untuk sungai yang memang dah tercemar teruk tetapi bagi saya sungai yang hidup itu adalah bila ada kehidupan. Kalau tidak ada kehidupan, saya menganggap sungai itu dah mati.

Bererti jumlah sungai yang sudah mati bukan 25 sungai sebenarnya tetapi mungkin dah beratus sungai. Jadi apa yang kita nak buat?

Pertama, kita di kementerian akan kita kenal pasti sungai itu dan lakukan pemeriksaan sebelum mengambil tindakan segera kepada mereka yang melakukan pencemaran.

Tuan Ibrahim (kanan) menunjukkan lakaran landskap denai Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang akan berwajah baharu ketika tinjauan di sungai berkenaan.
Tuan Ibrahim (kanan) menunjukkan lakaran landskap denai Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang akan berwajah baharu ketika tinjauan di sungai berkenaan.

Sebagai contoh, di Sungai Gong baru-baru ini kita ambil tindakan saman terhadap beberapa buah kilang yang mencemarkan sungai selama tempoh bertahun-tahun.

Saya jumpa nelayan di situ, dia kata sungai ini dulu kami menjala ikan dan ia merupakan sumber pendapatan mereka tetapi hari ini tiada kehidupan.

Yang kedua kita kena bersihkan sungai dan bangunkan denai dan saya satu hari saya nak tengok sungai ini bertukar menjadi jernih.

Kementerian dan kerajaan negeri akan bekerjasama untuk menghentikan sumber pencemaran dan bangunkan semula kawasan tersebut termasuk kawasan nelayan yang sangat teruk dan terbiar.

Saya menangis bila pergi tengok. Jadi saya kata kawasan ini kita akan ambil alih dan bina semula pengkalan nelayan ini untuk kehidupan mereka dan kita akan buat satu kunci air supaya air masin ini dapat kita kawal sebab ia tepi laut.

Untuk pemantauan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada satu kaedah untuk kita pantau semua lembangan sungai dan kita harapkan sebarang pembangunan di pinggir sungai mesti ikut pelan yang telah kita bangunkan.

- Berkenaan dengan migrasi hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat, Datuk Seri kata perjanjian itu hampir kepada semua negeri. Setakat ini berapa peruntukan untuk pelaksanaan migrasi tersebut?

Pertama sekali semua hutang luar bandar kita hapuskan terus, kemudian semua aset syarikat air itu kerajaan negeri akan jadi cagaran kepada PAAP.

Contohnya, kita nilai RM1.4 bilion dan PAAP boleh bagi pinjaman berdasarkan penilaian itu kepada syarikat air Pahang untuk dibangunkan. Jadi ia tidak sama antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Contoh, macam Kelantan saya dapat maklumat mungkin dalam RM200 juta ke RM300 juta sahaja.

Kedah lebih kurang RM600 juta. Ada beberapa perkara lagi yang masih belum selesai dan itu masih dalam perbincangan.

Apabila dimigrasikan kepada kerajaan Pusat, pertama dia boleh buat pinjaman daripada PAAP.

Pinjaman kepada PAAP ini satunya pinjaman cara Islam, dan keduanya ia tidak seperti membuat pinjaman daripada institusi bank. Jadi tempoh pembiayaan diperuntukkan itu untuk bagi jangka waktu yang lama contohnya 40 tahun.

JAS mendapati kemusnahan alam sekitar yang berlaku di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang berpunca daripada tapak projek kuari granit.
JAS mendapati kemusnahan alam sekitar yang berlaku di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang berpunca daripada tapak projek kuari granit.