Kampung Morten dijadikan hab keusahawanan

Wan Junaidi(empat dari kiri) dan Jalaluddin pada majlis pecah tanah Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten
Wan Junaidi(empat dari kiri) dan Jalaluddin pada majlis pecah tanah Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten
A
A
A

MELAKA - Kampung Morten di sini bakal ditambah nilai menjadi hab usahawan dikenali sebagai Hab Keusahawanan Morten Walk yang dijangka beroperasi Oktober depan.

Projek bernilai RM8 juta itu menampilkan pembangunan berkonsepkan‘modern dan trendy’ yang merupakan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menerusi UDA Holdings Berhad (UDA).

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, projek itu dibangunkan di kawasan seluas 1.67 hektar di bandar Melaka.

“Ia bakal menyediakan 100 ruang sewa untuk usahawan meliputi lot berbentuk kabin serta lot promosi untuk perniagaan termasuk makanan, fesyen, kedai pelbagai dan kedai teknologi maklumat

"Lebih menarik hab ini juga terletak di tengah-tengah bandar Melaka berdekatan dengan tarikan utama pelancong ke Melaka seperti Perkampungan Tradisional Kampung Morten, Jambatan Kampung Morten, Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, pembangunannya diharap dapat mewujudkan rantaian bekalan (ekosistem) keusahawanan di kawasan tersebut dan secara tidak langsung menggalakkan usahawan setempat mengembangkan perniagaan mereka.

Kata Wan Junaidi, Hab Keusahawan Morten Walk juga bakal menjadi platform mengukuhkan pasaran produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan membantu usahawan PKS yang berpotensi di bawah Medac.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin melihat usahawan tempatan khususnya bumiputera merebut peluang ini dan berniaga di tempat yang lebih menarik dan kondusif dalam usaha meningkatkan taraf perniagaan masing-masing,"katanya.

Sementara itu Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap pembangunan itu dapat menjadi pemangkin melahirkan lebih ramai usahawan.

"Ia menawarkan bantuan kepada usahawan yang layak seperti kadar sewaan di bawah harga pasaran, insentif berupa kos pengurusan atau rebat sewaan dan manfaat fasiliti,"katanya.

Pada majlis sama, Wan Junaidi turut menyampaikan replika cek kepada lima usahawan Bank Rakyat di Melaka yang baru diluluskan pembiayaan berjumlah RM1.312 juta.

Bank Rakyat telah membantu seramai 302 usahawan PKS dan Mikro di Melaka melibatkan peruntukan RM11.95 juta serta meluluskan bantuan kepada 118 usahawan PKS dan Mikro yang terjejas dengan pandemik Covid-19 di negeri itu berjumlah RM9.48 juta.