MSU terima tawaran pembiayaan Penjana RM50 juta

Abd Latiff (dua dari kiri) menyerahkan surat tawaran Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) kepada Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dalam satu majlis yang berlangsung di Wisma PMB, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Foto: Rosli Talib
Abd Latiff (dua dari kiri) menyerahkan surat tawaran Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) kepada Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dalam satu majlis yang berlangsung di Wisma PMB, Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto: Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - MSU Holdings Sdn Bhd (MSU) menjadi antara 25 institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menerima tawaran pembiayaan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) IPTS.

Tawaran pembiayaan sebanyak RM50 juta itu disampaikan dalam satu majlis penyerahan pembiayaan oleh PMB Tijari Berhad selaku ejen pelaksana dana berkenaan.

Dua lagi IPTS yang turut menerima penyerahan pembiayaan pada majlis sama ialah Malaysia Allied Health Sciences Academy (Mahsa) dan City University Malaysia, masing-masing menerima dana sebanyak RM50 juta dan RM28 juta.

Pengerusi PMB Tijari Berhad, Mohd Fauzi Rahmat berkata, tawaran dana pembiayaan yang diterima oleh 25 IPTS tersebut berjumlah RM155.3 juta daripada RM300 juta dana yang diperuntukan kerajaan di bawah Penjana.

Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah IPTS tersebut, hanya 13 IPTS yang telah mengemukakan dokumen lengkap bagi membolehkan pembiayaan disalurkan iaitu berjumlah RM60.6 juta.

“Kita menerima permohonan daripada hampir 60 IPTS. Namun dana kita terhad kepada RM300 juta sahaja. Sedangkan nilai permohonan hampir RM500 juta.

“Kita menilai dengan melihat kelayakan kredit meliputi keperluan mereka untuk menampung kos operasi sahaja, tidak termasuk perbelanjaan modal atau modal kerja.

“Setiap permohonan juga dinilai dengan turut melakukan pemeriksaan di lapangan bagi memastikan mereka betul-betul terkesan disebabkan pandemik Covid-19,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian SPiM Penjana IPTS kepada tiga IPTS di Wisma PMB di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Majlis penyerahan disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad sambil disaksikan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah Eksekutif Mara Corporation, Suhaili Abdul Rahman.

SPiM Penjana IPTS yang dilancarkan pada Julai 2020 secara dalam talian merupakan program yang membantu usahawan IPTS meneruskan kelangsungan operasi yang terjejas akibat Covid-19.

IPTS bumiputera yang berdaftar di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) menjadi kumpulan sasar bagi menerima insentif dana tersebut.

Penerima pembiayaan disyaratkan membuat ansuran bayaran balik pembiayaan bermula bulan ketujuh selepas dana disalurkan kepada mereka.