Safe@Work mampu elak gangguan operasi syarikat

 Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif Safe@Work berupaya mengelakkan gangguan operasi syarikat dan mengurangkan impak terhadap produktiviti apabila terdapat kes positif Covid-19 di premis perniagaan.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, berdasarkan lampiran semasa, pekerja kontak rapat wajib menjalani kuarantin dan tidak dibenarkan bekerja sehingga kesemua mereka disahkan bebas virus itu selepas menjalani ujian saringan kesihatan.

Bagaimanapun katanya, melalui pengenalan inisiatif Safe@Work akan membolehkan pekerja kontak rapat terus bekerja dalam situasi protokol baharu yang dinamakan Safe@Work Bubble.

“Pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja lain sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada Covid-19.

“Ini yang membezakan amalan semasa dengan pengenalan inisiatif Safe@Work ini supaya ia tidak mengganggu operasi syarikat.

"Pada masa yang sama ia dapat menjamin pekerjaan pekerja-pekerja tersebut sementara menunggu keputusan ujian saringan sekiranya mereka di dalam kategori kontak rapat,” katanya menerusi satu sidang akhbar yang disiarkan menerusi Facebooknya pada Khamis.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan pengecualian cukai baharu di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

Beliau berkata, ini termasuk memberi potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan membabitkan perbelanjaan sewaan premis serta asrama pekerja sebagai galakan bagi syarikat menyertai inisiatif Safe@Work kendalian Kementerian Perdagangan, Antarabangsa dan Industri (MITI).

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Potongan cukai kepada syarikat sukarela sertai Safe@Work

Azmin menambah, sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja, perkara berkenaan akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mereka dirawat di hospital yang telah ditetapkan.

Menteri itu dalam sidang akhbarnya turut menjelaskan beberapa aspek utama yang diberi penekanan di bawah Safe@Work Bubble antaranya kewujudan Safe@Work Bubble bagi pekerja kontak rapat di kawasan kilang dan premis penginapan pekerja.

“Ini bermakna pengurusan syarikat bertanggungjawab untuk mewujudkan bubble di antara tempat kerja dengan hostel pekerja dijamin selamat dan tidak memberikan kesan negatif kepada orang lain,” katanya.

Selain itu, Azmin berkata, antara aspek lain yang diberi penekanan ialah penubuhan pasukan persediaan dan tindak balas kecemasan Covid-19 oleh pihak syarikat mengurus kes kecemasan.

“Ini adalah antara keputusan yang dibuat oleh KKM supaya pihak syarikat dapat membentuk pasukan yang dedikasi bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan melaksanakan pemantauan berkala dan melakukan audit,” katanya.