Gerai roti canai popular diarah tutup

Tuan Jah (kanan) turut meninjau keadaan premis dalam ops bersepadu terbabit.
Tuan Jah (kanan) turut meninjau keadaan premis dalam ops bersepadu terbabit.
A
A
A

TANAH MERAH - Sebuah kedai roti canai tersohor di daerah ini antara lima premis yang diarah tutup sementara, kerana gagal mematuhi peraturan berkaitan kebersihan dalam operasi bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di sini.

Ops terbabit turut disertai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM).

Pegawai Kesihatan Daerah Tanah Merah, Tuan Jah Tuan Soh, berkata, lima premis itu diarah tutup selama 14 hari di bawah seksyen Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan.

“Sebanyak 47 notis kompaun telah dikeluarkan oleh jabatan kepada pemilik premis dan pengendali makanan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Sebanyak tiga notis kompaun dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan 11, iaitu tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan tugas am tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan,” katanya.

Kedai roti juga antara yang diperiksa dalam ops bersepadu.
Kedai roti juga antara yang diperiksa dalam ops bersepadu.

Selain itu, enam notis dikeluarkan di bawah Peraturan 31, iaitu berhubung dengan pemeriksaan perubatan dan keadaan kesihatan pengendali makanan dan 30 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan 32 iaitu berkaitan dengan pakaian pengendali makanan.

Artikel Berkaitan:

Manakala, tujuh kompaun dikeluarkan bagi kesalahan di bawah peraturan 33 iaitu berhubungan dengan kebersihan pengendali makanan dan satu kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 38 iaitu berkaitan penyimpanan makanan.

Tuan Jah berkata, pihaknya sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan khususnya di daerah ini dan pihaknya menegaskan adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis makanan dan pengendali restoran untuk memastikan premis mereka bersih pada setiap masa.