X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Ekonomi Malaysia dijangka pulih: IMF

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia dijangka pulih untuk tempoh berbaki 2021 dengan inflasi dan baki akaun semasa kembali normal dalam jangka sederhana.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Laporan Negara yang terkini berkata, pertumbuhan negara diunjurkan meningkat semula kepada 6.5 peratus pada tahun 2021, dipacu oleh pemulihan yang kukuh dalam sektor pembuatan dan pembinaan dan impak pelaksanaan vaksinasi pada Februari.

“Pemulihan ini tidak akan sama dalam semua sektor dengan kelembapan yang berterusan dalam industri sentuhan tinggi. Dari sudut permintaan, perbelanjaan kerajaan dan pemulihan permintaan domestik dan luaran akan menguatkan pertumbuhan,” kata IMF.

Lebihan akaun semasa akan merosot kepada 3.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berikutan permintaan membabitkan peralatan berkaitan pandemik yang berkurangan dan peningkatan permintaan domestik telah menaikkan import.

Katanya, defisit imbangan perjalanan akan berterusan memandangkan sekatan perjalanan antarabangsa yang berlanjutan pada separuh pertama 2021.

Inflasi itu akan pulih kepada 2.0 peratus apabila rebat tarif elektrik berakhir dan harga tenaga meningkat.

“Pertumbuhan jangka sederhana akan tertumpu kepada 5.0 peratus, inflasi stabil pada 2.0 peratus dan lebihan akaun semasa kembali kepada penurunan seperti pra-pandemik,” katanya.

Sementara itu, IMF berkata pandemik yang semakin buruk atau wujudnya risiko-risiko lain berupaya membantutkan pemulihan ini.

Gelombang pandemik pada masa ini boleh berpanjangan atau diikuti gelombang lain yang lebih buruk, sekali gus menyebabkan pihak berkuasa memanjangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini akan meningkatkan lagi kekangan dari segi penawaran aktiviti ekonomi dan seterusnya menjejaskan permintaan domestik. Dalam kes ini, pemulihan pada tahun 2021 akan menjadi lebih lemah.

“Dari segi penurunan juga, ekonomi Malaysia yang terbuka adalah mudah terjejas terhadap tindakan perdagangan yang meningkat dan pertumbuhan rakan dagang yang lebih lemah daripada jangkaan,” kata IMF.

Di peringkat domestik, risiko fiskal daripada liabiliti luar jangka boleh berlaku manakala ketidaktentuan dasar domestik berupaya menjejaskan keyakinan dan pelaburan perniagaan.

Penyerahan vaksin Covid-19 yang lebih cepat daripada jangkaan menunjukkan risiko penurunan, katanya.

Kedudukan luaran Malaysia pada tahun 2020 dinilai menjadi lebih kukuh berbanding asas dan dasar yang diinginkan, kata IMF, dan menurutnya penilaian itu akan mengambil kira ciri sementara kejutan melibatkan pandemik Covid-19.

Walaupun lebihan akaun semasa membantu memberi keyakinan kepada pelabur, ia bagaimanapun mewakili jurang KDNK sebanyak 3.6 peratus yang tidak boleh dijelaskan sepenuhnya oleh asas dan dasar yang diinginkan Malaysia dan sebahagiannya dipacu perbelanjaan lebih rendah ke atas jaringan keselamatan sosial di Malaysia.

Pada masa depan, IMF berkata, dasar yang akan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan terus menggalakkan pelaburan swasta, boleh membantu memudahkan imbangan semula luaran.

Mengenai hutang luaran, ia berkata, hutang luaran Malaysia kekal tinggi namun dapat diuruskan.

Hutang luaran meningkat kepada 67.5 peratus daripada KDNK menjelang akhir September 2020 (63.4 peratus pada 2019), sebahagiannya disebabkan pemegangan instrumen hutang dalam denominasi ringgit yang tinggi oleh golongan bukan pemastautin.

Bahagian hutang luar negara dalam denominasi mata wang asing berjumlah kira-kira dua pertiga daripada jumlah keseluruhan.

“Rizab rasmi kasar adalah mencukupi (AS$107.6 bilion pada akhir Disember 2020), pada 126 peratus daripada metrik Menaksir Kecukupan Rizab bagi rejim kadar pertukaran apungan.

“Apabila diselaraskan dengan kedudukan bersih hadapan, rizab itu adalah pada 117 peratus metrik,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!