Pemilik syarikat, pembantu tidak mengaku buat tuntutan palsu

Eng Wing Kuang (kanan) dan Choy Lee See (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas tuduhan membuat tuntutan palsu, bermula 2019 lalu.
Eng Wing Kuang (kanan) dan Choy Lee See (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas tuduhan membuat tuntutan palsu, bermula 2019 lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik syarikat pembekal dan pembungkus minyak masak subsidi dan pembantunya, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 28 pertuduhan membuat tuntutan palsu sebanyak RM618,058.80 bermula 2019 lalu.

Eng Wing Kuang, 52, dan Choy Lee See, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut semua pertuduhan, mereka dengan niat bersama telah memberikan dokumen Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Minyak Masak Sawit Tulen Kepada kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bertarikh 1 Februari 2019 hingga 30 April 2020, yang mempunyai butiran matan palsu.

Ia berkaitan resit-resit pembekalan minyak masak peruncit berjumlah RM1,527,807.40 yang mana RM618,058.80 daripada jumlah tersebut adalah palsu.

Kesalahan didakwa dilakukan di bahagian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNHEP Putrajaya antara 22 Februari 2019 hingga 16 April 2020.

Pertuduhan dilakukan mengikut 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta SPRM 2009.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai matan palsu itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun peguam kedua-dua tertuduh, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang rendah.

"Ini kerana, syarikat yang diusahakan oleh Wing Kuang baru sahaja beroperasi manakala Lee See merupakan seorang ibu tunggal," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan Wing Kuang diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 manakala Lee See RM30,000.

Kedua-dua tertuduh itu juga dikehendaki mematuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Pahang, setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes.