Rentak memukau The Blues

Pemain Chelsea meraikan jaringan Ziyech dalam aksi timbal balik 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Stamford Bridge pada awal pagi Khamis.
Pemain Chelsea meraikan jaringan Ziyech dalam aksi timbal balik 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Stamford Bridge pada awal pagi Khamis.
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel memuji persembahan yang dipamerkan para pemainnya selepas cemerlang menundukkan Atletico Madrid 2-0 dalam aksi timbal balik 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Stamford Bridge pada awal pagi Khamis.

Kemenangan itu menyaksikan The Blues berjaya mara saingan suku akhir dengan agregat 3-0 selepas turut mencatatkan kemenangan 1-0 dalam perlawanan pertama aksi timbal balik itu bulan lalu.

"Persembahan yang sangat bagus dan usaha yang luar biasa termasuk pemain di bangku simpanan. Kami amat memerlukan semangat seperti ini.

"Mereka (Atletico) cuba menekan kami pada separuh masa pertama sehingga membuka sedikit ruang di bahagian tengah dan kami memanfaatkannya. Pada separuh masa kedua ada beberapa minit membuatkan kami sengsara tetapi pemain tetap fokus dan melakukan yang terbaik untuk menang.

"Kami merindui Andrea Christensen hari ini dan Thiago selama beberapa minggu akibat kecederaan. Saya memberitahu Kurt Zouma bahawa dia akan bermain dan dia melakukan yang terbaik. Ini mengenai kerja berpasukan, keberanian dan percaya antara satu sama lain dalam pasukan, " katanya.

Dalam perlawanan itu, Hakim Ziyech dan Emerson masing-masing meledak satu gol untuk menamatkan penantian Chelsea mara ke suku akhir selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2014.

Tuchel turut mengakui risau apabila kapten pasukan, Cesar Azpilicueta melakukan kekasaran ke atas Yannick Carrasco dalam kotak penalti pada separuh masa pertama, namun lega pengadil tidak memberikan penalti kepada Atletico.

"Adakah ia penalti? Saya tidak nampak insiden itu tetapi ia menakutkan kerana jika penalti, Atletico akan menyamakan kedudukan. Jika kami tidak dapat menyerang, maka kami akan menggunakan corak permainan fizikal.

Artikel Berkaitan:

"Kami menikmati perlawanan ini, pemain begitu tajam dan kami sangat mahukan kemenangan untuk mara ke peringkat seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, penyerang Chelsea, Hakim Ziyech turut mengakui The Blues berdepan beberapa detik sukar dalam perlawanan tersebut namun mampu mengawal keadaan dan mendapatkan gol penting.

"Saya gembira kerana dapat menamatkan kemarau gol. Ia sesuatu yang bagus apabila anda dapat mendahului awal dalam setiap perlawanan. Atletico tidak mencipta banyak peluang dan kami gembira dengan persembahan ini," katanya.