Bekas pengarah syarikat ditahan disyaki beri rasuah RM321,350

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seorang bekas pengarah syarikat yang membekalkan perkhidmatan penyewaan kapal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini pada Rabu kerana disyaki memberi rasuah sebanyak RM321,350 sebagai imbuhan memberikan sub-kontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, lelaki berusia 64 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku antara 29 Jun hingga 14 Oktober tahun lalu melibatkan nilai keseluruhan projek sebanyak RM1 bilion.

"Lelaki itu dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Khamis di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009) bagi kesalahan memberi suapan untuk mendapatkan kontrak penyewaan kapal," katanya pada Rabu.

Sementara itu, seorang pengarah syarikat yang sama turut dipanggil untuk membantu siasatan dan akan dituduh bagi mewakili syarikat tersebut di bawah Seksyen 17A ASPRM 2009 iaitu berkaitan kesalahan liabiliti korporat di masa yang sama.

Tambah kenyataan itu, ini merupakan kes pertama bagi kesalahan di bawah Seksyen 17A ASPRM 2009 sejak dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020 lalu.

Artikel Berkaitan: