'Bukan hanya isu masa saya jadi Menteri Agama'

Keratan laporan Sinar Harian pada 11 Mac lalu.
Keratan laporan Sinar Harian pada 11 Mac lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, keputusan mahkamah mengenai kalimah ALLAH membuktikan yang isu tersebut bukanlah hanya berlaku pada waktu beliau menjadi menteri atau pemerintahan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya telah hangat diperdebatkan sejak lebih 13 tahun lalu.

Katanya, isu kalimah ALLAH telah berbelas tahun lalu panas diperkatakan, malah turut dipolitikkan terutamanya sewaktu pemerintahan PH.

“Kalau ada yang kata, isu ini menjadi hangat semasa saya menjadi menteri, itu sebenarnya tidak benar sama sekali. Sebenarnya isu ini telah pun dibawa ke mahkamah sejak sekitar 2008 hingga 2009 dan berlarutan sehinggalah kini.

“Isu ini hangat diperkatakan selepas arahan pekeliling Kementerian Dalam Negeri (KDN) meletakkan syarat bahawa beberapa perkataan termasuk kalimah ALLAH tidak boleh dipakai dalam terbitan orang bukan Islam sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan kalimah ALLAH boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Pada Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin dalam penghakimannya berkata, arahan oleh KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan iaitu ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat adalah menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi benarkan penganut Kristian guna kalimah ALLAH

Isu ini bermula 13 tahun lalu apabila Jill Ireland memulakan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan CD (cakera padat) yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Artikel Berkaitan:

CD berkenaan bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan CD tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau menghormati keputusan yang berpandukan kepada undang-undang yang ada dalam negara ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut menyeru semua pihak supaya meningkatkan hubungan antara agama dengan penuh kedamaian dan pamerkan Islam dengan dakwah yang ramah dan tamah.

Menurutnya, sepanjang sejarah Islam, bukan Islam telah pun menyebut perkataan ALLAH tetapi ia sedikitpun tidak menjejas Islam berkembang seluruh dunia.

“Sudah lebih 13 tahun kes ini terus menerus diperdebatkan, bayangkan selama ini jika kita biarkan kebencian dan permusuhan menguasai keadaan mungkin negara ini akan terus bergolak.

"Oleh itu usaha menjaga keamanan negara yang lebih utama telah menyelamatkan kita daripada terus dikecam,” katanya.