'Nak pil kuda, lambai je...'

Lima penagih termasuk tiga perempuan dicekup AADK Machang pada operasi anti dadah di sekitar jajahan ini.
A
A

MACHANG - "Tak perlu keluar rumah atau cari penjual. Yang penting ada duit dan pil kuda akan sampai tanpa perlu bersusah payah," kata seorang suri rumah yang ditangkap penguat kuasa di sini, hari ini.

Yuslah (bukan nama sebenar) berkata, bekalan dadah bukan masalah besar bagi mereka sebaliknya wang ringgit yang menjadi penghalang.

"Kalau ada duit secara automatik saya akan jadi rindu, mesti rasa nak ambil (dadah) tapi kalau tak ada duit, saya boleh tahan sampai berminggu-minggu sebab saya sendiri tak bekerja.

"Bila nak beli, saya akan lambai kepada orang kampung yang juga ambil buah (pil kuda) yang lalu di depan rumah dan mereka akan faham. Tidak lama kemudian sampailah ke tangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Machang, Azahari Abdullah berkata, wanita itu antara lima penagih dadah berusia 17 hingga 43 tahun yang ditangkap dalam operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Machang.

"Operasi yang bermula jam 9.30 pagi itu melibatkan pemeriksaan lapan buah rumah di daerah ini dan tangkapan lima penagih termasuk tiga wanita berdasarkan maklumat orang ramai.

"Semua yang ditahan didapati positif dadah jenis methaphetamine kecuali seorang lelaki jenis opiat," katanya.

Lima penagih termasuk tiga perempuan dicekup AADK Machang pada operasi anti dadah di sekitar jajahan ini.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia