'Hormati kalimah ALLAH untuk orang Islam'

DR BALACHANDRAN
DR BALACHANDRAN
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penganut agama lain perlu menghormati penggunaan kalimah ALLAH oleh orang Islam supaya tidak timbul kekeliruan yang dikhuatiri membawa kepada penghinaan terhadap agama Islam.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat (DHPP), Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, penggunaan kalimah ALLAH tidak boleh diguna pakai sewenang-wenangnya dan perlu mempunyai asas kukuh termasuk dalam konteks akademik.

Beliau berkata, tiada sebab bagi golongan bukan Islam menggunakan perkataan ALLAH melainkan untuk proses penterjemahan.

"Penganut agama lain di Malaysia harus akur dan menghormati agama Islam berhubung penggunaan kalimah ALLAH.

"Penggunaan perkataan ALLAH dalam konteks sambil lewa atau bagi tujuan menterjemahkan nama 'God' kepada ALLAH perlu dihindari supaya tidak timbul polemik yang akan memecah belah hubungan antara kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu berhubung kebenaran penggunaan kalimah ALLAH dan tiga lagi perkataan lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat oleh penganut Kristian seluruh negara dalam penerbitan pendidikan agama berkenaan.

Balachandran yang juga Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar Terengganu berkata, penggunaan perkataan ALLAH secara sewenang-wenangnya bukan tindakan yang berhemah oleh golongan bukan Islam.

"Penggunaan perkataan ALLAH perlu di gunakan dalam konteks tidak mengelirukan masyarakat Islam dan tidak berlaku sebarang bentuk penghinaan supaya tidak timbul salah faham dan polemik dalam kalangan rakyat negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Tinggi pada Rabu membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dan tiga lagi perkataan lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat oleh penganut Kristian seluruh negara dalam penerbitan pendidikan agama berkenaan.

Bagaimanapun, ia perlu disertakan dengan penafian hanya untuk orang Kristian dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Terdahulu, Pas memohon kerajaan membuat rayuan semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu adalah prosedur biasa yang boleh diambil selepas sesuatu keputusan diputuskan dan bukan bermaksud tidak menghormati keputusan mahkamah.