‘Cuci’ rasuah bermula dari peringkat atasan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Rantaian jenayah rasuah di Malaysia kini sudah menjadi pandemik apabila ia melibatkan ahli politik dan pegawai bawahan.

Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohd Khairul Anwar Ismail berkata, amalan rasuah kini sudah berakar umbi dan menjadi perkara biasa dalam masyarakat.

Beliau berkata, ada segelintir pihak menggunakan kedudukan untuk mendapatkan habuan serta sogokan.

“Rasuah hari ini bukan lagi penyakit yang hanya melibatkan orang-orang tertentu tetapi sudah menjadi pandemik yang sangat kronik kerana ia merebak ke akar umbi. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila jenayah ini berlaku dalam kalangan pegawai kerajaan dan anggota penguat kuasa serta pembuat polisi itu sendiri.

“Mereka ini menyalahgunakan kedudukan atau jawatan untuk mendapatkan sesuatu malah ada kes rasuah berlaku dalam kalangan hakim sendiri. Mereka ini diberi sogokan untuk melepaskan seseorang,” katanya pada forum bertajuk ‘Rasuah Sudah Menjadi Budaya?’ anjuran Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) yang disiarkan secara langsung melalui Facebook ACCIN pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat perlu diberi pendedahan tentang bahayanya jenayah rasuah.

“Justeru, forum seperti ini penting untuk menyedarkan masyarakat bahawa rasuah itu salah. Sekiranya wujud aktiviti atau ditawarkan rasuah, mereka kena buat laporan,” katanya.

Tambah Mohd Khairul Anwar lagi, amalan rasuah perlu ‘dibersihkan’ bermula daripada peringkat atasan.

Artikel Berkaitan:

“Secara peribadi amalan ini boleh diperangi bermula dengan ‘pembersihan’ di peringkat atasan ke peringkat bawahan. Golongan atasan yang terlibat dengan aktiviti ini perlu ‘dicuci’ terlebih dahulu.

“Pegawai atasan perlu diubah dan bila mereka ini sudah ‘berubah’, Insya-ALLAH yang di bawah juga akan berubah, sekali gus amalan rasuah ini dapat dibendung,” katanya.