Aplikasi C-Heart produk baharu PIK Kampung Cherating

Saifuddin (tengah) melancarkan Aplikasi C-Heart dan memperkenalkan Perkhidmatan Bungkus dan Hantar di Pusat Internet Komuniti Kampung Cherating, pada Ahad.
Saifuddin (tengah) melancarkan Aplikasi C-Heart dan memperkenalkan Perkhidmatan Bungkus dan Hantar di Pusat Internet Komuniti Kampung Cherating, pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Masyarakat di kawasan luar bandar kini boleh mendapatkan khidmat nasihat atau menjalani konsultasi susulan kesihatan secara dalam talian menerusi aplikasi e-perubatan iaitu C-Heart yang diwujudkan di Pusat Internet Komuniti (PIK).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, aplikasi itu dibangunkan di PIK Kampung Cherating sebagai projek rintis sebelum penggunaannya dikembangkan secara berperingkat di PIK seluruh negara.

"Kita galak masyarakat yang memerlukan khidmat konsultasi susulan doktor atau pakar menggunakan aplikasi ini.

"Mereka hanya membuat temu janji bersama doktor di PIK tanpa perlu ke hospital yang secara tidak langsung menjimatkan masa, kos dan tenaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Aplikasi C-Heart dan memperkenalkan Perkhidmatan Bungkus dan Hantar di Pusat Internet Komuniti Kampung Cherating, pada Ahad.

Saifuddin berkata, aplikasi itu dibangunkan oleh syarikat teknologi tempatan, DATA8 Sdn Bhd melibatkan Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh di Selangor.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan jumlah hospital dan pusat kesihatan boleh diperluaskan apabila lebih ramai menggunakannya.

Mengulas lanjut mengenai keselamatan data apabila menggunakan teknologi secara maya ini, Saifuddin berkata, aplikasi itu menggunakan teknologi 'blockchain'.

Artikel Berkaitan:

"Teknologi blockchain hanya membenarkan pesakit yang boleh membuka data mereka untuk berinteraksi dengan doktor setiap kali menjalani konsultasi susulan kesihatan itu.

"Jika perlu, CyberSecurity juga sedia membantu pada bila-bila masa," katanya.

Sehubungan itu, Saifuddin menggalakkan lebih ramai memanfaatkan C-Heart dengan menyediakan pengangkutan kepada mereka, khususnya warga emas yang ingin ke PIK tersebut menerusi sukarelawan IMFutures.